MACHANG, 28 Julai - Program Kolaborasi Pemantapan Seni Visual STPM anjuran bersama Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Perlis telah berlangsung dengan jayanya pada 24 Julai 2025 (Khamis), bertempat di Galeri Seni FSSR, Blok C, UiTMCK Kampus Machang. Program ini telah disertai oleh 82 orang peserta yang terdiri daripada guru dan pelajar Tingkatan Enam SMK Syed Sirajuddin.
Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar berkaitan bidang seni visual di peringkat pengajian tinggi serta memperkukuh pemahaman mereka terhadap teknik, proses kerja, dan penghayatan seni sebagai persediaan menghadapi peperiksaan STPM. Program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta seawal jam 9.00 pagi, disusuli dengan sesi ucapan alu-aluan dan perkongsian ilmu mengenai struktur serta kepakaran Fakulti Seni Lukis & Seni Reka.
Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh lima orang pensyarah iaitu Dr. Nani Hartina Ahmad (Ketua Pusat Pengajian FSSR), Dr. Siti Fairuz Hashim (Penyelaras Program Grafik), Encik Azman Ismail (Penyelaras Program Seni Halus), Encik Mohd Hakim Sharif (Penyelaras Program Logam Halus), dan Encik Mohd Adib Hasan (Penyelaras Program Tekstil). Sesi seterusnya merangkumi majlis penutup dan penyampaian cenderamata serta penghargaan daripada pihak FSSR kepada pihak SMK Syed Sirajuddin. Sijil penyertaan turut diberikan kepada semua peserta.
Program diakhiri dengan lawatan ilmiah ke Pameran Seni Reka Tekstil yang diadakan di Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan. Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberikan pendedahan yang mendalam kepada para pelajar mengenai bidang seni visual serta meningkatkan minat, kefahaman, dan kesedaran mereka terhadap potensi kerjaya dalam bidang seni. Usaha kolaboratif seumpama ini amat bertepatan dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah ke arah pembangunan pendidikan seni yang lebih komprehensif.
Penyedia Laporan:
Encik Mohd Heidhir Hamdan
Pensyarah
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
UiTM Cawangan Kelantan