MACHANG, 15 Mei - Program Mahasiswa & Masa Depan: Cabaran Kerjaya & Keusahawanan merupakan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para mahasiswa dengan dunia pekerjaan yang sebenar. Program ini melibatkan kerjasama antara Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang.
Antara objektif program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang peluang kerjaya selepas tamat pengajian. Program ini dianjurkan bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa malahan ia juga mampu membuka minda mahasiswa mengenai dunia pekerjaan yang amat luas. Selain itu, program ini juga mendedahkan mahasiswa dengan pandangan peribadi penceramah berpengalaman yang mampu membuka minda mahasiswa dalam menjalani dunia pekerjaan kini.
Program bermula pada jam 9:00 pagi dengan ketibaan para tetamu jemputan dan pendaftaran peserta diikuti sesi taklimat bertajuk “Perniagaan Anda Bermula di SSM” yang telah disampaikan oleh Tuan Luqman Baharan, Pengerusi Seksyen Operasi, Suruhanjaya Syarikat Negeri Kelantan. Selepas itu, pada jam 10:30 pagi pula sesi taklimat kedua bertajuk ‘‘6M: Anda Patuh Anda Selamat’’ yang telah disampaikan oleh Tuan Ashraf Zuwairi Mohamed Ibrahim, Pengerusi Unit Pemeriksaan Fizikal, Bahagian Pematuhan Korporat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Acara perasmian majlis bermula dengan persembahan Kawalan Kehormatan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria dan persembahan 𝘖𝘷𝘦𝘳𝘵𝘶𝘳𝘦 oleh Persatuan Silat Cekak UiTM Cawangan Kelantan. Majlis juga diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM dan sesi bacaan doa. Seterusnya, sesi ucapan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2024/2025 oleh saudara Che Mohamad Haniff Che Khalid serta ucapan alu-aluan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani. Sekitar jam 1:00 petang, program diteruskan dengan sesi perkongsian khas dan ucapan perasmian yang bertajuk "Cabaran Mahasiswa Dalam Dunia Pekerjaan" oleh Tuan Amir Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Pengangkutan) Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan gimik perasmian. Sebelum majlis berakhir, berlangsungnya acara simbolik penyerahan zakat kepada pelajar asnaf UiTM Cawangan Kelantan.
Sebagai rumusan, program ini telah mencapai KPI HEP iaitu 𝘕𝘶𝘮𝘣𝘦𝘳 𝘰𝘧 𝘭𝘦𝘢𝘥𝘦𝘳𝘴𝘩𝘪𝘱 𝘱𝘳𝘰𝘨𝘳𝘢𝘮𝘮𝘦𝘴 (PI029) dan 𝘕𝘶𝘮𝘣𝘦𝘳 𝘰𝘧 𝘤𝘰𝘮𝘱𝘢𝘯𝘪𝘦𝘴 𝘪𝘯𝘷𝘰𝘭𝘷𝘦𝘥 𝘪𝘯 𝘤𝘢𝘳𝘦𝘦𝘳 𝘢𝘤𝘵𝘪𝘷𝘪𝘵𝘪𝘦𝘴 (PI030) yang memberi impak positif kepada kecemerlangan universiti.
Program Mahasiswa & Masa Depan: Cabaran Kerjaya dan Keusahawanan ditutup sekitar jam 2:00 petang, disusuli dengan jamuan makan istimewa dan sesi bergambar sebagai merakam detik kenangan yang tidak ternilai. Mahasiswa pulang dengan pengetahuan tentang dunia pekerjaan yang luas dalam industri kini. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menggapai objektif menuju mahasiswa holistik dan berdaya saing tinggi.
Penyedia Laporan:
Encik Amir Azri Othman
Setiausaha Agung
Majlis Perwakilan Pelajar