MACHANG, 14 Januari - Pada 31 Disember 2024 dan 1 Januari 2025, satu program pemindahan ilmu yang bertajuk ‘Futureminds: Thinkers of Tomorrow Knowledge Transfer Program’ telah diadakan di UiTM Cawangan Kelantan. Program yang berasaskan pembangunan aplikasi mudah alih ini telah dirasmikan oleh Dr. Suriana Alias selaku Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik dan ianya telah dilaksanakan kepada kepada guru-guru serta para pelajar Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh (SMSPP), Kelantan. Program ini telah melibatkan 8 orang pensyarah Jabatan Sains Komputer iaitu Prof. Madya Dr. Noorihan Abdul Rahman, Prof. Madya Dr. Zuriani Ahmad Zukarnain, Puan Cik Ku Haroswati Che Ku Yahaya, Cik Nurul Hafiza Ismail, Puan Nor Asma Mohd Zin, Encik Nik Mohammad Wafiy Azmi, Dr. Ainul Azila Che Fauzi, Puan Asiah Mat serta 24 orang peserta dari SMSPP.
Sesi pemindahan ilmu ini dijalankan selama 2 hari secara intensif berkenaan dengan permulaan pembangunan aplikasi sehingga terhasilnya prototaip pembangunan aplikasi mudah alih. Program ini juga memberi kesedaran dan peningkatan kefahaman buat para peserta mengenai kepentingan membuat perancangan di dalam pembangunan aplikasi kerana ianya akan menentukan kejayaan aplikasi yang akan digunakan oleh para pengguna. Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG), pihak UiTM di bawah Jabatan Sains Komputer telah memberi sumbangan kepada para pendidik dan pelajar sekolah ke arah matlamat SDG 4: Pendidikan Bermutu, iaitu bagi menyokong pendidikan menyeluruh serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat yang berkaitan dengan pembangunan aplikasi mudah alih.
Penyedia Laporan:
Prof. Madya Dr. Noorihan Abdul Rahman
Pengarah Projek
Futureminds: Thinkers of Tomorrow Knowledge Transfer Program