MACHANG, 6 Januari – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn (JPK THO) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kota Bharu, Kelantan, telah mengadakan program Drive Right Safe Journey bertempat di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan pada 4 Januari 2025. Program ini melibatkan 31 orang Ahli Jawatankuasa Pelaksana, seorang penceramah jemputan dari JPJ dan 3 orang dari staf pameran.
Program yang berbentuk akademik dan ilmiah ini melibatkan sesi perkongsian ilmu mengenai asas keselamatan jalan raya yang bermanfaat untuk mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan. Program pada kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan seramai 205 orang peserta telah menghadiri dan menyertai program.
Program Drive Right Safe Journey ini telah dirasmikan oleh Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Kelantan dan diteruskan dengan sesi ceramah oleh Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat, Tuan Jalal Ikram Mohamed Nori Mohamed dari pihak JPJ Kelantan. Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan penceramah. Pada akhir program, peserta diberikan peluang untuk menyaksikan pameran keselamatan jalan raya yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Matlamat dan objektif JPK THO dalam program ini telah tercapai iaitu demi meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan keselamatan jalan raya dan memberi pemahaman mengenai undang-undang jalan raya. Selain itu, program ini juga telah menanam budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan mahasiswa, perilaku tidak selamat yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya serta menggalakkan pemahaman terhadap risiko penggunaan jalan raya.
Akhir kata, pihak JPK THO telah berjaya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga terutamanya dari organisasi berkaitan keselamatan jalan raya iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dengan tema yang menekankan kepentingan keselamatan dan kesedaran, program ini diharapkan dapat menyumbang kepada kesedaran mengenai bahaya serta risiko di jalan raya dan pengurangan statistik kemalangan jalan raya melibatkan mahasiswa di UiTM Cawangan Kelantan.
Penyedia Laporan:
Saudari Nureen Nadeera Mohd Azlan
Pengarah Program
Drive Right Safe Journey