KOTA BHARU, 19 Disember - Pada 5 Disember 2024, delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail selaku Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Kelantan yang juga Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan iaitu Yang Berhormat Dato' Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik di antara UiTM Cawangan Kelantan sebagai institusi pendidikan dan juga kerajaan negeri Kelantan.
Delegasi UiTM Cawangan Kelantan turut dianggotai Dr. Suriana Alias selaku Ketua Pusat Pengajian, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik UiTM Cawangan Kelantan dan Prof. Madya Dr. Zuriani Ahmad Zulkarnain serta Prof. Madya Dr. Noorihan Abdul Rahman. Dalam sesi pertemuan tersebut, beberapa perkara penting telah dibincangkan, termasuk potensi kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi. Pada kesempatan tersebut, UiTM Cawangan Kelantan juga telah membentangkan beberapa projek kerjasama semasa yang dijalankan di Kelantan yang melibatkan pelajar dan staf akademik. Semoga inisitiatif ini dapat memperkukuhkan lagi kerjasama di antara kedua pihak bagi memanfaatkan institusi pendidikan, sains dan teknologi di negeri ini.
Penyedia Laporan:
Prof. Madya Dr. Noorihan Abdul Rahman
Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik
UiTM Cawangan Kelantan