TANAH MERAH, 19 Disember - Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (PJIM&A) mengambil inisiatif untuk menganjurkan ‘Majlis Anugerah Kecemerlangan PJIM&A’ bagi memberikan 16 anugerah apresiasi buat warga UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) dan rakan sinergi yang terpilih. Majlis ini bukan sahaja untuk meraikan kecemerlangan staf dan pelajar UiTMCK dalam bidang penyelidikan, jaringan industri dan keusahawanan tetapi ia turut diadakan bagi menghargai segala sumbangan yang telah diberikan oleh rakan-rakan sinergi UiTMCK yang telah sudi bekerjasama bagi sama-sama membantu dalam melaksanakan program-program berimpak tinggi di UiTMCK.
Anugerah Khas (Sinergi) PJIM&A 2024 telah dinobatkan kepada 3 rakan sinergi yang terpilih iaitu Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) di atas peruntukan berjumlah RM250,000 yang diberikan bagi membaik pulih Kem Wawasan UiTMCK yang dikelolakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTMCK. Anugerah ini juga telah dinobatkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU) kerana telah memberikan geran berjumlah RM40,000 di bawah Program Penjanaan Pendapatan Melalui Keusahawanan Digital dalam Kalangan Peserta Miskin Tegar (DiME 2024), program seliaan Puan Suraya Husin dan Puan Hazelen Mat Rusok. Penerima terakhir bagi anugerah ini adalah Nasken Coffee yang banyak menjalinkan hubungan kerjasama dengan UiTMCK.
Penyedia Laporan:
Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff
Koordinator ICAN
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni
UiTM Cawangan Kelantan