MACHANG, 8 Ogos - Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) sekali lagi diberi peluang menerima kunjungan delegasi antarabangsa dari Cagayan State University (CSU), Filipina. Sesi kunjungan yang bermula dari 7 Julai hingga 12 Julai 2024 ini adalah bertujuan untuk melaksanakan satu program pertukaran musim panas iaitu International University Social Responsibility (USR) antara CSU dan UiTMCK. Antara pengisian utama program ini adalah International Guest Lecture Series dan mobiliti mahasiswa. Delegasi diketuai oleh Dr. Giged T. Battung, Vice President for Internationalization, Partnership and Resource Mobilization, Associate Professor Kristinne Joyce Lara, Director of Internationalization, Mr. Bradley Invierno, Engr. Arlene Patricio dan Miss Jane P. Quilang serta 17 orang mahasiswa dari pelbagai bidang jurusan di CSU.
Program kelolaan Pejabat Perhubungan Antarabangsa UiTMCK (OIA) ini telah memberi peluang perkongsian ilmu antara pensyarah kedua-dua buah institusi dan juga mendedahkan mahasiswa CSU dengan keindahan budaya dan warisan setempat di Tanah Serendah Sekebun Bunga Cik Siti Wan Kembang. Melalui siri International Guest Lectures, kerjasama yang baik dari Fakulti Perakaunan, Fakulti Pengurusan Maklumat, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi dan Fakulti Undang-Undang serta Kolej Pengajian Seni Kreatif telah menyemarakkan lagi lima sesi perkongsian ilmu yang telah disampaikan oleh pendukung akademik CSU dalam bidang kepakaran masing-masing. Bertitik tolak dari itu juga, sesi ini telah membuka peluang kepada para pensyarah UiTMCK untuk meneruskan kolaborasi antarabangsa pada masa akan datang. Aktiviti-aktiviti pelajar yang dirangka seperti Bengkel Batik dan Seni Logam, Lawatan ke Ladang Nanas UiTM Cawangan Kelantan, Aktiviti Kebudayaan (Zapin Madah Pusaka), Pertemuan Bersama Pemimpin Pelajar dan City Tour of Kota Bharu juga memberi peluang kepada mahasiswa CSU untuk mengenali serta menghargai keunikan budaya dan warisan masyarakat di negeri Kelantan.
Tiada kata secantik bahasa, mengungkapkan kisah dan pengalaman berkongsi ilmu serta kerjasama dalam menjadikan program ini satu cebisan kejayaan buat UiTMCK melakarkan nama di peringkat antarabangsa. Setiap ucapan terima kasih yang diterima kami aspirasikan untuk kolaborasi yang lebih baik pada masa hadapan. Semoga kerjasama ini akan terus maju dengan idea dan aktiviti yang memberi nilai tambah kepada staf dan mahasiswa UiTMCK kerana Fortes Fortuna Aduivat – kejayaan akan datang pada yang berusaha untuk mencuba, InshaAllah. Maraming Salamat CSU dan Syabas UiTMCK!
Penyedia Laporan:
Pejabat Perhubungan Antarabangsa UiTMCK