KOTA BHARU, 25 Julai – Seramai 9 orang pensyarah dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah diberi peluang berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing bersama anggota dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertempat di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur, Kota Bharu Kelantan, bermula pada 17 Julai 2024 (Rabu) sehingga 19 Julai 2024 (Jumaat) yang dihadiri oleh hampir 23 orang anggota JPJ dari Cawangan seluruh Malaysia. Turut hadir bersama dalam program tersebut adalah Ketua Stesen Penguatkuasa, Ketua Cawangan, juga Pengarah dan Ketua Bahagian.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari tersebut bertujuan bagi menambahbaik proses membuat keputusan dalam kalangan anggota JPJ yang memfokuskan kepada penggunaan data yang tepat dan menyeluruh dalam membuat keputusan (Data Driven Decision Making), selain diberi pendedahan dengan kaedah-kaedah lain (Strategic Business Tools) yang bersesuaian untuk digunakan dalam membuat sesuatu keputusan.
Selain itu, peserta juga diajar untuk mengenal pasti dan menilai risiko-risiko yang terlibat dalam memutuskan sesuatu keputusan. Dalam melaksanakan bengkel tersebut, beberapa modul telah dirangka dan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTMCK, dan dibantu oleh fasilitator-fasilitator. Bengkel dimulakan dengan sesi pengenalan yang telah dikendalikan oleh Puan Nur Azureen Abd Hadi dan dibantu oleh fasilitator, Dr. Azmahani Yaacob@Othman. Sewaktu sesi ini, para peserta telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil, bagi aktiviti Latihan dalam Kumpulan (LDK) yang telah diadakan pada hari terakhir bengkel. Kemudian, sesi seterusnya adalah “Kaedah dan Proses Pembuatan Keputusan” yang telah disampaikan oleh Puan Rosfatihah Che Mat dan dibantu oleh Fasilitator, Puan Azureen Abd Hadi.
Hari kedua bengkel diteruskan dengan sesi pertama yang disampaikan oleh Dr. Wan Marhaini Wan Omar, dan dibantu oleh Dr. An Nur Nabila Ismail yang membincangkan topik “Kepentingan Pembuatan Keputusan Berdasarkan Data”. Seterusnya, sesi “Mengoptimumkan Keputusan Melalui Pengurusan Risiko” telah disampaikan oleh Dr. Nik Mohd Shamim Nik Mohd Zainordin dan dibantu oleh Dr. Mohd Hafeez Al-Amin Abdul Wahab. Sesi terakhir bagi hari kedua dengan tajuk “Penggunaan Business Strategic Tools Dalam Pembuatan Keputusan” telah disampaikan oleh Dr. Hatinah Abu Bakar bersama fasilitator, Dr. Azwan Shah Aminuddin.
Sesi Latihan dalam Kumpulan (LDK) diadakan pada hari terakhir bengkel yang memerlukan para peserta untuk menganalisis dan mengemukakan cadangan keputusan yang perlu diambil berdasarkan kepada situasi kes yang telah disediakan. Sepanjang tiga hari bengkel berjalan, para peserta memberikan kerjasama serta perhatian yang sangat baik, selain menghidupkan setiap sesi bengkel dengan berkongsi pengalaman, bertanya soalan, dan bertukar pandangan bersama ahli bengkel juga penceramah.
Diharapkan agar bengkel yang telah dilaksanakan ini memberi manfaat kepada para peserta yang hadir, selain meningkatkan ketampakan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTMCK diperingkat yang lebih tinggi, dan program-program seperti ini akan diperhebatkan lagi pada masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Dr. Azwan Shah Aminuddin
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan & Perniagaan