MACHANG, 20 Jun - Pada tanggal 23 Mei 2024, program ‘Sesi Perkongsian Mentoran Penyelidikan: Strategi Memenangi Geran Nasional’ telah berjaya dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri dan Alumni (PJIA), Universiti Teknologi MARA (UiTMCK) Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Program diadakan di HRD (B), UiTM Cawangan Kelantan dan telah dihadiri oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada para pensyarah yang juga merupakan penyelidik-penyelidik dari pelbagai bidang kemahiran. Selain itu, program ini juga turut disiarkan secara langsung melalui platform Webex dan telah disertai oleh peserta daripada UiTM Shah Alam, Universiti Malaya, Kementerian Pendidikan Malaysia dan warga UiTM Cawangan Kelantan.
Sesi mentoran ini telah disampaikan oleh Profesor Dr. Yarina Ahmad yang merupakan seorang pakar dan mempunyai pengalaman yang luas dalam penyelidikan terutamanya di peringkat nasional. Beliau juga turut dikenali sebagai ‘Queen of the Research Grant’ kerana telah berjaya memperoleh pelbagai geran dengan nilai keseluruhan mencecah jutaan ringgit daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Profesor Dr. Yarina Ahmad juga dikenali sebagai seorang yang sangat ‘humble’ dan ‘low profile’ dalam perwatakan beliau. Berikut adalah tips yang telah dikongsi beliau semasa program:
- Peluang untuk memimpin penyelidikan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh setiap pensyarah
- Bekerja dalam kumpulan dengan niat untuk berjaya bersama akan menghasilkan penyelidikan yang berkualiti
- Sentiasa menghargai sekecil-kecil peranan dan sumbangan setiap ahli penyelidik/pembantu penyelidik atau sesiapa sahaja yang membantu dalam penyelidikan
- Jangan pernah bimbang dengan tiada ketampakan nama kerana yang dilihat adalah hasil dan usaha yang pasti akhirnya memberi ganjaran pada masa akan datang
- Sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dengan peluang yang diberi dengan sentiasa memberikan komitmen yang terbaik
- Geran penyelidikan adalah satu amanah menyebarkan ilmu dan setiap penyelidik hendaklah bertanggungjawab dengan amanah yang diberi
- Bekerjalah untuk ilmu kerana manis pada akhirnya amatlah berharga
Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab daripada para peserta dan sesi bergambar untuk kenangan. Semoga sesi perkongsian pada kali ini akan menyemarakkan lagi agenda penyelidikan di UiTM Cawangan Kelantan dan membakar semangat para pensyarah untuk memohon dan mendapatkan geran penyelidikan di peringkat nasional dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan UiTM, pelajar-pelajar, masyarakat, bangsa dan negara.
Penyedia Laporan:
Dr. Puan Siti Zulaikha Mustapha
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi
Dr. Marziana Madah Marzuki
Profesor Madya
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan