MACHANG, 20 Jun – Bahagian Hal Ehwal Pelajar di bawah kelolaan Unit Kerjaya & Kaunseling, Unit Kepimpinan Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar, Junior Counselor dan Kelab PEERS telah bekerjasama dengan Majlis Guru Kaunseling Daerah Pasir Mas dalam menganjurkan program berimpak iaitu Kursus Kepimpinan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Bestari. Program diadakan bermula dari 4 hingga 6 Jun 2024 di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Seramai 150 orang pelajar sekolah telah mengikuti Kursus kepimpinan PRS Bestari ini yang menggabungkan empat buah sekolah iaitu SMK Sultan Ibrahim 1, SMK Tengku Panglima Raja, SMK Tanjong Bunga dan SMK Baroh Pial.
Tujuan kursus ini adalah untuk mendidik dan melahirkan pemimpin generasi murid yang berwibawa dalam kepimpinan untuk membimbing rakan sebaya melalui pendekatan ‘PEER TO PEER’. Selain itu, kursus kepimpinan seumpama ini mampu memantapkan disiplin diri, daya kepimpinan dan pembentukan personaliti diri unggul murid yang merangkumi tingkahlaku, sahsiah, pergaulan, keterampilan berkomunikasi dan komitmen dalam menjalankan tanggungjawab serta mampu menjadi ‘role model’ kepada rakan-rakan yang lain.
Pengisian yang terancang melalui MODUL KHAS yang dibentuk melibatkan pendekatan ceramah Kemahiran Fasilitator: “Leadership, Followership”, PRS Peluang dan Cabaran, Kemahiran Latihan Dalam Kumpulan yang merangkumi Ciri PRS Bestari, Kemahiran Asas Kaunseling, Explorace dan Silang Budaya. Pengurusan program yang berlangsung sepanjang tiga hari, dua malam ini telah memberi input, maklumat dan pengalaman yang berharga kepada semua murid yang terlibat. Pendekatan ‘PEER to PEER’ yang dikendalikan sepenuhnya oleh barisan fasilitator mahasiswa UiTM (Majlis Perwakilan Pelajar, Junior Counselor dan Kelab PEERS) telah membantu dengan berkesan dalam melancarkan perjalanan acara program. Para peserta telah berjaya menjiwai secara mendalam perwatakan pempimpin yang berupaya untuk memimpin pelajar yang cekal, hebat, bestari dan berjiwa besar sebagai persiapan bagi mereka untuk berhadapan dengan apa jua isu-isu serta cabaran yang bakal mereka tempuhi pada masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Cr. Zainab ‘Izzah Mahmud; KB, PA MAL
Pegawai Psikologi Kanan
Unit Kerjaya & Kaunseling
UiTM Cawangan Kelantan