KOTA BHARU, 9 Mei - Program Seni Tulisan Khat telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Ruang Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kampus Kota Bharu. Jutaan terima kasih diucapkan kepada penceramah jemputan iaitu Ustaz Nik Abdul Rahman Zaki Nik Abdul Kadir kerana telah berkongsi ilmu dan mengajar para peserta mengenai Seni Tulisan Khat. Tujuan utama program ini adalah untuk memartabatkan kembali Seni Khat yang dilihat semakin pudar dalam kalangan masyarakat khususnya warga UiTM. Program ini bukan sahaja melahirkan rasa minat untuk belajar Seni Khat tetapi dapat melahirkan kerjasama yang efektif serta semangat kebersamaan, komitmen yang padu, semangat yang jitu, dalam menghasilkan solusi yang terbaik kepada stakeholders UiTM. Selain itu, nilai kecemerlangan juga merupakan pemacu utama untuk mencapai matlamat yang efisien dan berkesan demi menggarap potensi warga tanpa batas mahupun halangan. Ilmu yang bermanfaat, keseimbangan ilmu dan warga yang mengamalkan nilai-nilai murni dapat memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan peradaban manusia yang maju kehadapan. Akhir kata, diharapkan segala ilmu dan tunjuk ajar yang telah disampaikan dalam program kali ini dapat menambah ilmu, melahirkan minat dan mencipta pengalaman yang berharga buat para peserta yang telah hadir ke program pada kali ini.
Penyedia Laporan:
Puan Rosmariyati bt Ab Rahman
Pustakawan Kanan
UiTM Kampus Kota Bharu