MACHANG, 10 Mei- Bulan Ramadan adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan di dalamnya. Umat Islam dituntut untuk membaca, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Kebiasaannya, umat Islam akan bertadarus secara bersemuka di dalam kumpulan-kumpulan yang kecil. Namun di musim pandemik Covid 19 masa kini, aktiviti tadarus masih perlu dilakukan dengan cara yang baharu. Sebagai altenatif, tadarus secara atas talian masih dapat dilaksanakan sebagai satu norma baharu.
UiTM Cawangan Kelantan dengan anjuran bersama Sekretariat Pembudayaan Al-Quran yang terdiri dari Unit Hal Ehwal Islam, Unit Komunikasi Korporat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Perpustakaan Tengku Anis dan Unit Latihan telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran secara atas talian yang telah melibatkan semua bahagian, unit, fakulti, jabatan, kolej, staf sokongan, pekerja am kontrak dan pelajar pada 5 Mei 2021 yang lepas.
Majlis Khatam Al-Quran ini telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan iaitu Profesor Madya Dr Haji Zulkifli bin Mohamed. Rektor dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga UiTM Cawangan Kelantan yang terdiri daripada UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang dan juga Kampus Kota Bharu kerana telah menjayakan Program Pembudayaan Al-Quran (PPAQ) walau berada dalam musim wabak penyakit Covid 19. Pembudayaan Al-Quran ini bagi menyahut agenda Universiti agar mewujudkan sudut Bacaan Al-Quran.
Objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni berlandaskan ajaran agama Islam dalam jiwa warga universiti dan membentuk kesatuan jiwa dan mengeratkan hubungan kerohanian di kalangan staf dan pelajar. Ia dilaksanakan dengan menjadikan reading corner @ PTA sebagai sudut Al-Quran di setiap bahagian bagi mengimarahkan dan mempergiatkan aktiviti-aktiviti penghayatan Al-Quran. Kebanyakan aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan secara atas talian sebagai penyesuaian dalam norma baharu.
Aktiviti PPAQ sempena Ramadhan kali ini antaranya adalah bertadarus Al-Quran, tafsir, tadabbur dan juga ceramah agama. Sesuai dengan norma baharu, aktiviti tadarus dilakukan melalui dua kaedah utama iaitu secara pertemuan fizikal dengan mematuhi SOP yang ditetapkan dan juga secara atas talian. Warga UiTM telah memberikan maklum balas yang baik dan meminta ianya diteruskan kerana memahami akan pentingnya untuk sentiasa berinteraksi dengan Al-Quran.
Menurut Penyelaras Pembudayaan Al-Quran UiTM Cawangan Kelantan iaitu Dr Shafiza binti Safie, program ini disokong oleh barisan urusetia dari pelbagai bahagian bagi membuat pemantauan, memberi tunjuk ajar, mendidik dan membimbing peserta. Adalah diharapkan agar usaha pembelajaran, pengajaran, pembacaan dan pemahaman Al-Quran dapat diteruskan walaupun selepas bulan Ramadhan. Umat Islam perlu kreatif dan sentiasa mencari penyelesaian sesuai dengan norma baharu yang ada pada hari ini.