Taklimat Audit Luar Masjid Negeri Kelantan Sempena Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Maik Bersama Pegawai Masjid Negeri Kelantan

KOTA BHARU, 07 Mac – Satu taklimat telah diadakan Sempena Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersama Pegawai Masjid Negeri Kelantan dan UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK). Fakulti Perakaunan UiTMCK telah dijemput untuk menerima pelantikan sebagai Juruaudit Luar Masjid Negeri Kelantan bagi memastikan masjid mematuhi tatacara pengurusan kewangan yang telah ditetapkan oleh pihak MAIK pada 3 Mac 2024.

Pelantikan tersebut diketuai oleh Prof. Madya Dr. Marziana Madah Marzuki bersama 7 orang lagi pensyarah Fakulti Perakaunan terdiri daripada Dr. Wan Zurina Nik Abdul Majid, Haji Othman Zailani, Puan Wan Muzlaina Wan Mustapha, Prof. Madya Dr. Maheran Zakaria, Puan Samsuria Abdul Rahman, Puan Wan Roshaini Wan Ali dan Cik Siti Nor Adawiah Hussin. Pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz kepada Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Nik Zam Nik Wan yang mewakili Rektor UiTM Cawangan Kelantan.

Pengurniaan pelantikan ini dianggap satu pengiktirafan kepada kepakaran UiTM Cawangan Kelantan dan Fakulti Perakaunan khususnya bagi membantu pihak masjid untuk menghasilkan pengurusan kewangan yang lebih berintegriti dan sistematik. Proses audit ini dijangkakan akan bermula pada awal Julai tahun ini dengan pengauditan kepada semua masjid negeri, bandar dan jajahan diikuti masjid mukim kategori A. Selepas selesai, ianya akan diteruskan kepada semua masjid mukim besar dan sub mukim di seluruh negeri Kelantan.

Penyedia Laporan:
Prof. Madya Dr. Marziana Madah Marzuki
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan