Majlis Menandatangani Perjanjian MoU dan MoA Antara Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Kelantan Dengan Sekolah Dasar Darul Hikam Bandung, Indonesia

MACHANG, 03 Mac - Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Sekolah Dasar Darul Hikam Bandung telah mengadakan sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) yang berlangsung di Pavilion Selasar Sunaryo bertempat di Bandung, Indonesia pada 25 Februari 2024.

Pemilihan Sekolah Dasar Darul Hikam sebagai institusi pilihan adalah kerana ianya merupakan sebuah sekolah swasta berprestasi yang telah ditubuhkan di Indonesia di bawah kelolaan Yayasan Darul Hikam. Sekolah ini menjalankan kurikulum yang berasaskan pengukuhan dalam bidang kebolehan pengajaran dan pendidikan melalui kaedah Islam, Sains dan Seni Kreatif sebagai satu asas kolaborasi dalam pembelajaran harian mereka.

Untuk makluman, inisiatif ini merupakan sebuah langkah lanjutan dalam pelan strategik Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Kelantan melalui kerjasama pertukaran ilmu pengetahuan antara kedua-dua belah pihak. Selain memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti pendidikan, mengembangkan kurikulum serta pelaksanaan program bersama, inisiatif MoU dan MoA ini bakal diserikan lagi dengan program pameran dan bengkel bersama yang melibatkan para pensyarah KPSK, pelajar dari KPSK UiTM Cawangan Kelantan dan pelajar serta guru Sekolah Dasar Darul Hikam.

Memorandum ini telah ditandatangani oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi selaku Rektor UiTM Cawangan Kelantan manakala Sekolah Dasar Hikam ditandatangani oleh Ibu Ruri Sundari selaku Guru Besar Sekolah Dasar Darul Hikam. Turut terlibat wakil delegasi KPSK UiTM Cawangan Kelantan terdiri daripada Puan Nur Fatiyah Roslan selaku Ketua Projek, Encik Shahrul Hisham Ahmad Tarmizi, Puan Siti Safura Zahari dan Encik Azharudin Mappon, pensyarah KPSK beserta 5 orang mahasiswa dari KPSK UiTM Cawangan Kelantan.

Penglibatan dua institusi pendidikan dari dua buah negara ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan untuk perancangan kerjasama bersama bagi program-program yang dapat memenuhi kehendak KPI kecemerlangan, sinergi dan integriti UiTM 2021-2025. Hal ini juga diharapkan dapat memberi kesan yang positif bagi perkembangan seni kreatif antara kedua-dua buah negara serumpun.

Penyedia Laporan:
Puan Nur Fatiyah Roslan
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Puan Siti Safura Zahari
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Encik Mohd Shahrul Hisham Ahmad Tarmizi
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Encik ⁠Mohd Heidhir Hamdan
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Encik Azharuddin Mappon
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Dr. Rushana Sulaiman@Abd Rahim
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif