Modul Kepimpinan Pentadbir Akademik Cemerlang UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 21 Disember – Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya mengadakan Program Modul Kepimpinan Pentadbir Akademik Cemerlang pada 11 Disember 2023. Program ini disertai oleh hampir 85 orang Pentadbir Akademik dari Kampus Machang dan Kampus Kota Bharu. Matlamat utama program adalah bertujuan untuk melahirkan Pentadbir Akademik yang bernilai, beretika dan bermoral. Penekanan aspek nilai, etika dan moral adalah bertujuan untuk mempertingkatkan budaya kerja berprestasi tinggi di samping memastikan tenaga pentadbir yang mampu berkhidmat dengan kompeten dan komited.
 
Program ini dibahagikan kepada 4 slot utama. Slot pertama merupakan taklimat mengenai “Penghayatan Nilai ESI & iDART” yang disampaikan oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Beliau menekankan tentang aspek ESI dan iDART yang merupakan nilai-nilai positif yang perlu dipraktikkan oleh para Pentadbir Akademik dalam melahirkan manusia yang cemerlang di dunia dan akhirat.
 
Taklimat slot kedua disampaikan oleh Timbalan Rektor HEA UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail yang menyampaikan taklimat bertajuk “Pentabir Akademik Cemerlang”. Beliau banyak mengupas tentang nilai-nilai murni melalui kesedaran, pematuhan dan tingkah laku diri secara berterusan untuk mencapai etika profesionalisme yang tinggi sebagai seorang Pentadbir Akademik yang cemerlang.
 
Pada sebelah petang pula, taklimat seterusnya disampaikan oleh Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor Penyelidikan Bahagian Jaringan Industri & Alumni (PJIA). Beliau menyampaikan taklimat yang bertajuk “Hala Tuju Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni”. Beliau telah berkongsi mengenai matlamat dan fungsi PJIA kepada Pentadbir Akademik dalam meningkatkan penghasilan penyelidikan yang berkualiti dan berimpak tinggi yang bertepatan dengan kemahuan pihak Universiti.
 
Program diteruskan dengan slot terakhir yang disampaikan oleh Encik Hishamudin Mohamad Twontawi dengan memberikan taklimat berkenaan “Asas Pengukuhan Integriti dan Tatatertib". Selaku Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan, beliau menekankan bahawa Bahagian Pentadbiran merupakan satu bahagian terpenting di Universiti yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengurus sumber pentadbiran dan sumber manusia.
 
Program seperti ini bukan sahaja boleh meningkatkan kesedaran dalam aspek pengukuhan silaturahim dan kerjasama berpasukan semata-mata, malahan konsep integriti dan profesionalisme dalam setiap tugasan juga turut ditekankan. Semoga program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang dan memberi impak yang lebih positif kepada semua Pentabir Akademik.

 

Penyedia Laporan:
Puan Wan Noor Azwani Wan Abd Rasid
Pegawai Eksekutif
Bahagian Pentadbiran