MACHANG, 23 Oktober- Dataran Medan Ilmu, UiTM Cawangan Kelantan telah melakar sejarah apabila Himpunan ‘Stand With Palestine’ telah berjaya mengumpulkan seramai lebih 2000 mahasiswa Negeri Kelantan yang hadir menyatakan sokongan dan pendirian terhadap penderitaan yang sedang dihadapi oleh umat Islam di Palestin. Demonstrasi aman ‘Stand With Palestine’ yang telah dianjurkan oleh Perwakilan Mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan ini turut disertai oleh perwakilan dari IPTA/IPTS lain seperti Kolej Universiti Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) , Politeknik Kota Bharu (PKB), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Ikatan Muslim Prihatin Kebangsaan (IMPAK), Biro Haluan Palestin dan lain-lain NGO serta penduduk sekitar yang turut memenuhi Dataran Medan Ilmu, UiTM Cawangan Kelantan seawal jam 5 petang.
Ribuan peserta yang hadir memberi sokongan dan tunjuk perasaan aman dengan membawa mafela, sepanduk, plakad dan mengibarkan bendera Negara Palestin sambil melaungkan ‘Hidup-Hidup, Hidup Palestin, Hancur Hancur, Hancur Ya Yahud’ bagi mengecam tindakan kejam rejim Zionis laknatullah. Mahasiswa turut bersolidariti dan menyokong sepenuhnya usaha pihak Kerajaan dan Agensi Bukan Kerajaan agar terus memberikan bantuan dan sokongan seperti perubatan dan makanan kepada rakyat Palestin. Himpunan ini telah berjaya mengumpulkan nilai sumbangan hampir RM5,000 yang telah diserahkan kepada Biro Haluan Palestin untuk disalurkan kepada penduduk Gaza, Palestin,
Peserta Himpunan ‘Stand With Palestine’, mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan, Muhammad Nor Nabihan bin Norzeri, 23, menegaskan bahawa perjuangan umat Islam ini perlu sentiasa diteruskan dari masa ke semasa bagi memperingati dan memberi sokongan padu kepada perjuangan penduduk Palestine menentang kezaliman rejim Zionis.
Penyedia Laporan:
Nik Muhammad Luqman Al Hakim Mohd Roslan,
Pengarah Program
Himpunan Stand With Palestine.