Penyertaan Kumpulan City Campus Innovative Team (CCIT) UiTM Cawangan Kelantan dalam Konvensyen KIK Zon Timur 2023

KOTA BHARU, 21 September – Pada 18 September sehingga 20 September 2023, telah berlangsung Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Zon Timur yang bertemakan Merealisasikan Daya Tahan Melalui Jaminan Kualiti. UiTM Cawangan Terengganu telah terpilih sebagai tuan rumah penganjuran pada kali ini. Konvensyen yang diadakan secara atas talian pada kali ini telah menyaksikan persaingan sengit antara tiga kumpulan KIK Zon Timur iaitu Kumpulan City Campus Innovative Team (CCIT) mewakili UiTM Cawangan Kelantan, Kumpulan Ilhamku mewakili UiTM Cawangan Terengganu dan Kumpulan MIM mewakili UiTM Cawangan Pahang.

Kumpulan KIK CCIT terdiri daripada 10 orang ahli telah dibimbing oleh seorang Fasilitator, Inv. Ts. Mohd Zafian Mohd Zawawi. Kumpulan ini ditubuhkan pada 5 Januari 2023 telah memilih satu projek bertajuk pembinaan aplikasi K-Check dalam telefon bimbit. Dengan kata lain, kumpulan ini telah membuat penambahbaikan proses kerja pemeriksaan harian kenderaan secara manual yang didapati mengambil masa yang lama, kurang mesra pengguna, dan memerlukan kos cetakan borang yang tinggi kepada cadangan pembinaan aplikasi K-Check dalam telefon bimbit yang dilihat dapat menjimatkan masa, kos, wang serta dapat meningkatkan happiness index dalam kalangan pemandu UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu khususnya dan akan diperluaskan penggunaannya kepada pemandu UiTM di semua sistem UiTM se-Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pemenang tempat pertama telah dimenangi oleh Kumpulan Ilhamku membawa pulang hadiah wang sebanyak RM1,000, diikuti pemenang tempat kedua dari Kumpulan MIM membawa pulang hadiah wang RM800 dan pemenang tempat ketiga dari Kumpulan CCIT membawa pulang hadiah wang RM500. Penyertaan kali pertama Kumpulan CCIT dalam konvensyen seumpama ini telah mendapat tempat ke-3 dan mendapat penarafan Perak. Walaupun Kumpulan CCIT mendapat tempat ketiga, ianya merupakan satu pencapaian yang baik bagi sebuah kumpulan yang baru pertama kali menyertai konvensyen ini berbanding Kumpulan Ilhamku dan Kumpulan MIM yang telah menyertai konvensyen KIK UiTM pada setiap tahun sebelum ini.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada ketiga-tiga kumpulan KIK Zon Timur yang telah terpilih mewakili kampus masing-masing ke Konvensyen KIK Zon Timur pada tahun 2023.

Penyedia Laporan:
Encik Mohd Khusyairie Marzuki
Ketua Kumpulan
City Campus Innovative Team (CCIT)