BESUT, TERENGGANU, 16 Julai – Kesatuan Kakitangan Umum UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat (Cintai Keluang Kita) bermula jam 8:00 pagi sehingga 1:00 tengah hari pada 13 Julai 2023. Program berjalan lancar dengan kehadiran Rektor UiTMCK Profesor Dr. Hj. Abdol Samad Nawi serta 7 AJK dan 24 Ahli KKUUiTMCK.
Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada staf UiTMCK dan masyarakat setempat akan kepentingan memberikan khidmat bakti kepada masyarakat. Ia juga dapat menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan alam sekitar kepada komuniti serta mendekatkan diri dengan masyarakat. Sekali gus mempromosikan UiTM kepada masyarakat setempat. Selain itu, ia juga dapat memupuk semangat kecintaan terhadap budaya tolong-menolong, bantu-membantu sesama masyarakat serta berganding bahu dengan agensi luar dalam menjalankan pelbagai aktiviti yang dirancang. Impaknya, program ini dapat menampilkan dan menghayati ciri-ciri insan yang berakhlak mulia dan nilai staf UiTMCK yang positif.
Diharapkan program ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada ahli KKUUiTMCK dalam usaha untuk melahirkan staf UiTMCK yang berjiwa masyarakat selaras dengan tema “Ahli KKUUiTMCK bersama masyarakat”. Di samping itu, program sebegini amat bermakna dan dapat dijadikan pengalaman untuk ahli KKUUiTMCK pada masa hadapan. Melalui program ini juga, kebolehan dan keterampilan ahli KKUUiTMCK dapat diserlahkan melalui penglibatan mereka dalam mengendalikan sesuatu program. Perkara ini amat penting bagi menampilkan citra penjawat awam unggul di samping memiliki daya tahan mental. Diharapkan juga agar program ini dapat menghimpunkan kesepaduan, keakraban dan kemesraan dalam kalangan staf UiTMCK dengan pihak penganjur. Semoga program ini menjadi salah satu medium untuk mengembangkan lagi potensi yang terpendam dalam diri para ahli KKUUiTMCK.
Penyedia Laporan,
Puan Janatun Naim A.Rahman
Penolong Setiausaha KKUUiTMCK