KOTA BHARU, 20 Jun – Program Sahsiah Unggul Pemangkin Individu Terbilang dan Pautan Mesra Penasihat Akademik bersama mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik (CS241) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik dan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Pengedaran) dengan Kepujian (CS291) telah berjaya direalisasikan dengan jayanya di Dewan Kasturi Kraftangan Tunjung, Kota Bharu Kelantan pada 20 Mei 2023. Program yang telah dianjurkan oleh Persatuan Community of Bachelor in Statistics (Comobista) UiTM Cawangan Kelantan di bawah seliaan Penyelaras Penasihat Akademik, CS241/CS291 Puan Shamsunarnie Mohamed Zukri telah berjaya menghimpunkan kesemua mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Statistik Kampus Machang dan Kota Bharu. Program ini telah dirasmikan oleh Ts. Dr. Khalid Abdul Wahid merangkap Penolong Rektor UiTM Kampus Kota Bharu. Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai personaliti serta bersahsiah unggul yang mampu mencapai etika profesionalisme yang tinggi. Di samping itu, program ini juga dapat memperkasakan peranan Pembimbing Akademik serta dapat mengeratkan silaturrahim di bawah Jabatan Statistik sama ada di kalangan pensyarah mahupun di kalangan mahasiswa itu sendiri. Pengisian program dimulai dengan ceramah kerohanian oleh Puan Nik Muniyati Nik Din (Pensyarah Kanan ACIS) diikuti oleh ceramah motivasi oleh En. Muhamad Rasull Abdullah yang diharapkan dapat membentuk jati diri mahasiswa CS241/CS291 menjadi mahasiswa bersahsiah unggul dan individu terbilang dalam semua aspek kehidupan nanti. Mahasiswa juga berpeluang mendengar amanat oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Dr. Zuriani binti Ahmad Zulkarnain sebelum mahasiswa dipecahkan kepada kumpulan PA mereka untuk slot bersama ayahanda dan bonda PA masing- masing. Secara keseluruhannya, program ini dapat memberi impak yang sangat positif dalam kemenjadian mahasiswa menjadi mahasiswa yang unggul bukan sahaja dalam segi akademik tetapi dalam sahsiah diri serta personaliti yang mampan.