International Volunteering Programme: Let’s Stand Together with Prime Mover

MACHANG, 23 Mac – Satu program anjuran Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan bersama Pengusaha Kecil Desa Permatang Johar Medan, Indonesia telah diadakan pada 6 Mac 2023 (Isnin). Program ini adalah hasil kesinambungan daripada jalinan kerjasama (Volunteering Community Service International Programme) di antara Kelab Prime Mover UiTMCK Kampus Machang, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Pengusaha Kecil Desa Permatang Johar Medan, Indonesia.

Program ini turut dihadiri Bapak Fadhil Pahlevi Hidayat, Lembaga Penelitian dan Pengabdian Masyarakat (LPPM UMSU), Bapak Nurman Ginting, Lembaga Penelitian dan Pengabdian Masyarakat (LPPM UMSU), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, penasihat Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan, Bapak Sudarman, SPd Kepala Desa Permatang Johar dan Ibu Rafieqah Malar Rizky, Ketua Office of International Affairs and Cooperation (OIC UMSU). Selain itu, beberapa staf dari UMSU juga turut sama terlibat dalam program ini.

Kelab Prime Mover UiTM mengutamakan tiga aspek iaitu kesukarelawanan, kepimpinan dan keusahawanan. Program yang dijalankan bersama pengusaha kecil Desa Permatang Johar ini dijalankan selaras dengan aspek keusahawanan, di mana ahli jawatankuasa kelab Prime Mover UiTM telah bekerjasama dengan E-Community Synergy dalam menghasilkan modul pemasaran digital. Modul ini dihasilkan dengan tujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pembelajaran berkaitan pemasaran digital dengan memanfaatkan platform keusahawanan secara digital seperti ‘TikTok’, ‘Instagram’, ‘Facebook’ dan ‘WhatsApp’ untuk mempromosikan hasil produk yang ingin dipasarkan secara atas talian.

Dengan adanya program ini, ia dapat membantu masyarakat luar untuk lebih peka tentang aplikasi terkini dalam pemasaran digital dan seterusnya mampu membantu dalam meningkatkan hasil pendapatan mereka.

LDK 1: Digital Marketing bersama fasilitator dari Kelab Prime Mover dan barisan pengusaha Desa Permatang Johar.

Dalam program ini, seramai 15 orang pengusaha kecil daripada peringkat umur 30-50 tahun telah menyertai sesi pembelajaran berkenaan pemasaran digital. Setiap pengusaha yang hadir mempunyai perniagaan mereka sendiri seperti menjual keropok, snek dan cendawan. Sebelum ini, para pengusaha ini tidak didedahkan dengan pemasaran digital dan hanya mempromosikan produk mereka dengan meletakkannya di kedai atau gerai. Justeru itu, para Pengusaha Kecil Desa Permatang Johar telah diajar dengan terperinci berkenaan penggunaan pemasaran digital oleh barisan fasilitator Kelab Prime Mover UiTM. Mereka diajar untuk mengaplikasikannya secara terus menggunakan platform digital seperti di ‘WhatsApp Business’, ‘Instagram’, ‘Tiktok Shop’ dan ‘Facebook’. Mereka turut diajar untuk menghasilkan bungkusan produk yang lebih menarik dan cara untuk mempromosikan produk kepada orang ramai.

Pelbagai ilmu yang amat bermakna telah dikongsikan bersama para pengusaha. Ilmu pemasaran digital yang dipelajari oleh mereka dapat diaplikasikan bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka sekaligus dapat memperkenalkan jenama mereka kepada lebih ramai orang.

Sesi Penyerahan Cenderahati dan Sumbangan Ikhlas kepada Pengusaha Kecil

Dalam program ini juga, Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, penasihat Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan dan barisan pengurusan UMSU dapat bertegur sapa dan beramah mesra bersama para pengusaha. Pada kesempatan ini, Kelab Prime Mover UiTM turut mengambil peluang untuk berkongsi rezeki dengan memberikan sedikit cenderahati dan sumbangan ikhlas daripada pihak UiTM Cawangan Kelantan serta Kelab Prime Mover UiTM kepada pihak pengusaha kecil di Desa Permatang Johar.

Program ini melibatkan 18 orang delegasi dari Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan yang terdiri dari seorang pensyarah dan 17 orang ahli jawatankuasa Kelab Prime Mover UiTM, 18 orang dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), 15  orang pengusaha kecil Desa Permatang Johar dan 2 orang wakil dari Desa Permatang Johari iaitu Bapak Sudarman, SPd, Kepala Desa Permatang Johar dan Ibu Siti Aisyah, Tim Penggerak Pemberdayaan dan Kesejahteraan Keluarga.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff selaku Penasihat Kelab Prime Mover UiTM, barisan ahli jawatankuasa Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), para pengusaha  kecil Desa Permatang Johar serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga program yang dijalankan ini dapat memberikan impak positif kepada semua dan memberi dorongan yang kuat untuk terus menjalankan program yang dapat membantu orang ramai. Program ini juga dapat melahirkan mahasiswa yang peka dengan perkembangan isu-isu semasa berkenaan aktiviti kesukarelawanan serta mengajar mereka untuk lebih menghargai apa yang mereka ada pada hari ini.

Akhir kata, sama-samalah kita berganding bahu bagi memastikan kecemerlangan dan kegemilangan seperti ini dapat terus dikekalkan dan ditingkatkan oleh Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan bagi tahun 2023 dan pada masa hadapan.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Fatin Audryna Binti Azhar
Kelab Prime Mover
UiTM Cawangan Kelantan