International Volunteering Programme: Let’s Stand Together with Prime Mover

MACHANG, 22 Mac – Program ‘International Volunteering Programme: Let’s Stand Together with Prime Mover’ telah dianjurkan oleh Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan pada 5 Mac 2023 bersama dengan anak-anak yatim di panti asuhan Al Jam’iyatul Washliyah, Medan Indonesia.

Kunjungan delegasi dari Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan disambut dengan meriah oleh pengusaha panti asuhan dan kesemua anak-anak yatim. Kelab Prime Mover UiTM mengambil kesempatan ini untuk bertegur sapa dan beramah mesra bersama anak-anak yatim di panti asuhan Al Jam’iyatul Washliyah. Para ahli Kelab Prime Mover UiTM juga sempat bertanyakan tentang perasaan anak-anak yatim ini selama mereka tinggl di panti asuhan dan rata-rata mengatakan mereka sangat seronok dan gembira tinggal di sana. Pada masa yang sama, pihak delegasi juga dapat melihat dan menghayati kehidupan mereka yang membesar tanpa merasai kasih sayang daripada ibu dan bapa. Hal ini mengajar kita semua untuk lebih mensyukuri nikmat kehidupan yang telah diberikan.

Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan mewakili UiTM Cawangan Kelantan turut mengambil kesempatan ini untuk memberikan cenderahati dan sumbangan kepada panti asuhan Al Jam’iyatul Washliyah sebagai penghargaan dan bagi meringankan sedikit beban mereka dalam menguruskan panti asuhan ini. Susulan daripada itu, Kelab Prime Mover juga telah mendapat cenderahati daripada pihak panti asuhan Al Jam’iyatul Washliyah. Hal ini telah menjadi tanda jalinan ukhuwah yang terbina dan akan berterusan pada masa akan datang.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff selaku Penasihat Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan, barisan ahli jawatankuasa Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan, pihak panti asuhan Al Jam’iyatul Washliyah Medan Indonesia serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program pada kali ini. Semoga program yang dijalankan ini dapat memberikan manfaat dan impak yang positif kepada semua bagi melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dalam persatuan di peringkat antarabangsa. Dengan adanya program sebegini, maka sifat kepimpinan dan empati terhadap keadaan semasa yang dihadapi oleh masyarakat lain dapat dibangkitkan dalam diri mahasiswa serta jalinan ukhuwah sesama manusia dapat ditanam dalam diri mereka.

Akhir kata, teruslah bangkit bersama-sama bagi memastikan setiap kecemerlangan dan kegemilangan yang diperolehi seperti ini terus dikekalkan dan ditingkatkan lagi bagi memastikan Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan bagi tahun 2023 terbang lebih tinggi di masa yang akan datang.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Fatin Audryna Binti Azhar
Kelab Prime Mover
UiTM Cawangan Kelantan