MACHANG, 20 Februari - Program ‘Brisk Walk with Rector Series 1’ yang telah diadakan pada 16 Februari 2023 telah mendapat sambutan yang positif dari kalangan staf UiTM Cawangan Kelantan. Program ini adalah atas cadangan Rektor UiTMCK sendiri iaitu Yang Berbahagia Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi.
Apa itu ‘Brisk Walk’? Ianya merupakan aktiviti berjalan dengan cepat dan dilakukan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan tahap kecergasan diri dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Beliau memilih untuk mengadakan Brisk Walk ini kerana beliau sendiri menyukainya dan berbeza dengan kebanyakan senaman yang lain. ‘Brisk walk’ merupakan aktiviti yang mempunyai tahap risiko yang rendah dari segi kecederaan dan juga tidak memerlukan sebarang kos yang tinggi untuk melakukannya. Kelebihan ‘Brisk Walk’ adalah ianya baik untuk kesihatan jantung, menurunkan kadar tekanan darah tinggi, diabetis dan juga untuk mengawal berat badan.
Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada staf bahawa pentingnya menjaga ‘healthy lifestyle & happiness index’. Program yang santai dan mengambil masa 1 jam mengelilingi kampus sambil berbual berbicara bersama rakan yang berlainan pejabat dan fakulti secara tidak langsung mengeratkan ikatan silaturrahim antara satu sama lain.
Walaupun ‘brisk walking’ tidaklah sukar untuk dilakukan, namun terdapat beberapa cara dan panduan yang perlu diketahui. Program bermula dengan regangan otot dan sesi taklimat yang diberikan oleh Unit Sukan bagi memastikan semua staf dapat bersenam dengan cara yang betul dan sihat.
Program hasil kerjasama antara Pejabat Rektor, Bahagian Pentadbiran dan Unit Sukan ini akan menjadi salah satu program berterusan di setiap bulan yang harus disertai oleh semua staf yang terlibat bagi memastikan semua staf sentiasa berada dalam keadaan sihat, bertenaga dan gembira selalu.
Penyedia Laporan:
Pejabat Rektor