MACHANG, 20 Februari – Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan Kursus Pemantapan Pegawai Gred 29 dan 32 pada hari Selasa, 14 Februari yang lepas. Kursus ini disertai oleh 68 orang pegawai dari Kampus Machang dan Kota Bharu. Matlamat utama kursus ini adalah mewujudkan rasa semangat kerja berpasukan, membina kebersamaan dan menerapkan pelbagai jenis kemahiran dan kompetensi yang diperlukan bagi membentuk satu pasukan yang berkesan di tempat kerja. Kursus ini juga memberi penekanan kepada aspek kepimpinan bagi Pegawai Gred 29 dan 32 yang boleh dijadikan sebagai contoh dan tauladan kepada staf sokongan yang lain.
Kursus ini dibahagikan kepada 4 slot utama. Slot pertama yang bertajuk “Peranan Seorang Penyelia” dimulakan oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad bin Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Beliau menekankan tentang aspek kerohanian yang merupakan unsur utama melahirkan manusia yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Penceramah slot kedua iaitu Ustaz Dr. Mohd Nazri bin Mat Zin menyampaikan ceramah bertajuk “Bertauhid dalam Perkhidmatan”. Ustaz Dr. Mohd Nazri bin Mat Zin banyak mengupas tentang ayat-ayat dalam Al-Quran dan Hadis tentang tanggungjawab semua staf untuk sentiasa bertauhid dalam bekerja supaya rezeki yang diperolehi adalah rezeki yang halal.
Slot seterusnya adalah dari Puan Zainab ‘Izzah Mahmud, Pegawai Kaunseling Kanan. Beliau banyak memberi motivasi kepada peserta untuk meningkatkan semangat bekerja dan mengubah halangan menjadi peluang serta menerapkan semangat berani untuk mentransformasi diri untuk menjadi lebih baik.
Pada sebelah petang pula, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli telah dijemput untuk memberikan taklimat berkenaan NLP Kepimpinan. Selaku Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, beliau banyak memberikan tip tentang cara untuk mengubah diri menjadi lebih baik.
Semoga kursus ini akan diteruskan di masa akan datang dan memberi impak yang lebih positif kepada semua peserta. Ianya bukan sahaja boleh meningkatkan kesedaran dalam aspek pengukuhan silaturrahim dan kerjasama berpasukan semata-mata, malahan konsep integriti dan profesionalisme dalam setiap tugasan juga turut ditekankan.
Penyedia Laporan:
Puan Wan Noor Azwani Wan Abd Rasid
Pegawai Eksekutif