MAULIDUR RASUL: DAKWAH RASULULLAH MEMBENTUK TAMADUN UMMAH
MACHANG, 1 November - Setiap tahun bersamaan dengan 12 Rabiulawal adalah cuti umum bagi semua negeri di Malaysia bersempena Maulidur Rasul. Maulidur Rasul adalah hari yang penting buat umat Islam kerana ia adalah hari memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi. Di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang lazim diraikan sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah S.A.W.
Sempena meraikan bulan kebesaran Islam ini, Unit Hal Ehwal Islam telah menganjurkan program Bicara Tokoh Siri 2 Maulidur Rasul: Dakwah Rasulullah Membentuk Tamadun Ummah dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat dan Unit Latihan Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan pada 30 Oktober 2022. Program ini telah berjaya diadakan secara bersemuka di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan dengan kehadiran peserta seramai 300 orang.
Tujuan program sebegini diadakan adalah untuk memberikan kesedaran kepada semua staf mengenai kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T. serta menjadikannya sebagai salah satu wasilah dalam mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Program bual bicara ini telah dikendalikan oleh moderator iaitu Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad (Pegawai Eksekutif Kanan) serta ahli panel, Dato’ Haji Mohamad Shukri Mohamad (Mufti Kerajaan Negeri Kelantan). Isu kupasan dalam bual bicara ini berkisarkan mengenai dakwah dan hubungan ketamadunan serta sejarah awal Islam kepada kita. Maulidur Rasul yang kita sambut pada hari ini, hakikatnya bukanlah sekadar sambutan hari lahir Rasulullah S.A.W. semata-mata, tetapi ia membawa suatu makna yang amat besar kepada seluruh manusia.
Semangat Maulidur Rasul perlu terus disemarakkan dan disemai dalam jiwa setiap umat Islam sebagai bukti ketulusan cinta kita terhadap Rasululullah S.A.W.
Dalam konteks kemanusiaan, Rasulullah adalah model dalam mengangkat ukhuwah insaniah atau persaudaraan kemanusiaan. Baginda berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa, warna kulit mahupun keturunan. Ini menunjukkan, Islam merupakan agama yang terbangun di atas prinsip memuliakan manusia atau takrim al-insan, berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 70 maksudnya “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”
Di akhir program, pelancaran Potongan Gaji Tabung Amanah Pusat Islam (TAPI) yang bertujuan untuk membantu warga UiTM Cawangan Kelantan yang memerlukan bantuan serta menaik taraf bangunan Pusat Islam untuk keselesaan warga UiTM Cawangan Kelantan telah dilancarkan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nasir Ismail (Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik).
Penyedia laporan:
Puan Shalwati Ramli
Penolong Pendaftar Kanan
Unit Hal Ehwal Islam