MACHANG, 18 Oktober – Hasil inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui Unit Sukan UiTM Cawangan Kelantan untuk menjadikan Dewan Makan di Kolej Tun Hussein Onn (THO) sebagai tambahan tempat riadah mahasiswi membuahkan hasil apabila Majlis Perasmian Dewan Sukan Terbuka Siswi tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi bersama Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar pada 17 Oktober 2023.
Bagi melengkapkan upacara perasmian, gelanggang dibuka dengan perlawanan persahabatan antara Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi bersama pasangan regu Encik Azhar Abdullah melawan pasangan regu Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli dan Encik Ruffian Ridzar Mohd Isa.
Dewan terbuka tersebut dilengkapi dengan kemudahan tiga (3) gelanggang badminton dan tiga (3) unit meja ping pong pada peringkat awal. Konsep penggunaan dewan ini adalah terbuka kepada mahasiswi sahaja kecuali pada hari Selasa dan Rabu petang yang dibuka kepada kelas badminton sahaja.
Apa yang lebih menarik lagi, tambahan tempat riadah ini boleh dikatakan sangat menjimatkan kos kerana ianya dilakukan secara gotong – royong melibatkan Unit Sukan, Jawatan Sukan Pelajar (JSP) dan Jawatan Perwakilan Kolej (JPK).
Harapan universiti, dengan tambahan tempat riadah ini akan memberikan semangat kepada mahasiswa untuk terus bersukan dan mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah.
Penyedia laporan:
Unit Sukan
Bahagian Hal Ehwal Pelajar