Norma Baharu Pembudayaan Al-Quran Ketika Pandemik COVID-19

Oleh Dr Shafiza Safie dan Dr. Mohd Farhan Md Ariffin

Al-Quran merupakan Kitabullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril A.S. Al-Quran tidak mampu ditandingi oleh mana-mana makhluk, sekalipun manusia dan jin bergabung mendatangkan sebuah kitab seumpama Al-Quran. Ini kerana perkataan makhluk tidak akan pernah mampu menyamai perkataan Al-Khaliq.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 88: “Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.” Membaca, mendengar dan mengamalkannya akan memperoleh rahmat dan pahala. “Apabila Al-Quran itu dibacakan, dengarkan dan diam supaya kamu beroleh rahmat.” Al-A’raf ayat 204.

Dewasa kini, Al-Quran bukan sahaja boleh didapati dalam bentuk mushaf, tetapi juga dalam bentuk format cakera optik seperti CD, paparan skrin telefon bimbit, Al-Quran digital dan sebagainya. Kecanggihan teknologi wajar dimanfaatkan dengan baik ke arah menyebarluaskan lagi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran agar ia dapat dijadikan budaya yang dipasak dalam hati walau di mana berada. Perkara ini seiring dengan kelebihan membaca Al-Quran yang boleh memberi syafaat di hari Kiamat nanti. Diriwayatkan oleh Abu Umamah, mendengar Nabi SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.” (Riwayat Muslim)

Bermula tahun 2020, dunia dikejutkan pula dengan penularan virus Covid 19, yang telah diisytiharkan sebagai ancaman global yang digeruni dan boleh membawa maut. Ia juga telah membawa datang naratif baharu dalam kehidupan seharian manusia termasuk dalam bidang pendidikan. Oleh yang demikian, ini telah memberi cabaran baru dalam pengajian Al-Quran. Ini kerana Al-Quran bukan sahaja lapangan ilmu yang melibatkan teori semata-mata, bahkan juga praktikal yang perlu diperdengarkan bacaan tersebut.

COVID-19 turut mengubah cara pengajian Al-Quran yang dahulunya dilaksanakan secara fizikal. Kaedah yang dahulunya dilakukan secara berdepan seperti talaqqi musyafahah, tasmik, tikrar dan sebagainya diubah caranya secara dalam talian. Hal ini bagi mengelakkan penularan penyakit COVID-19 dari terus merebak apabila adanya pertemuan atau percampuran orang ramai. 

Antara cabaran lain yang terpaksa ditempuhi dalam pengajian Al-Quran ialah masalah capaian internet yang tidak menentu dan lemah yang menyebabkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tersekat-sekat, tidak jelas dan ada juga yang terhenti sekerat jalan.

Walau apa jua cabarannya, pembudayaan Al-Quran dalam kehidupan Muslim tidak sepatutnya terhenti disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19. Masyarakat boleh mengambil inisiatif lain melalui pendekatan secara maya dengan memanfaatkan semaksimum mungkin teknologi yang ada seperti panggilan video, whatssapp, telegram, skype dan sebagainya bagi memudahkan komunikasi dengan guru Al-Quran. Ini bagi membolehkan mereka membaca, memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran, mengulang bacaan dan lain-lain lagi yang terkait dengan pengajian Al-Quran dari masa ke semasa secara berguru.

Penggunaan teknologi sebegini boleh digunakan secara meluas sama ada dalam kalangan warga pendidik di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, masjid, surau dan sebagainya. Malah bagi yang sudah berkeluarga pula mereka boleh mengadakan usrah keluarga secara dalam talian dengan pengisian Al-Quran seperti tadarus, tafsir, tadabbur Al-Quran dan boleh juga menggunakannnya bagi tujuan penyebaran ilmu-ilmu yang bermanfaat yang lain.

Ini seiring dengan ajaran Islam yang menggalakkan manusia agar sentiasa mempertingkatkan kualiti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sekalipun bacaan mereka berada pada tahap yang lemah dan masih lagi tergagap-gagap. Ini kerana bagi golongan sebegini yang tidak dapat membaca Al-Quran dengan sempurna diganjari Allah SWT dengan dua pahala. Ini membuktikan betapa hebatnya agama Islam yang tetap meraikan golongan yang kurang kemampuan. Motivasi ini dapat dilihat melalui sabda Nabi Muhammad SAW: “Orang yang membaca Al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca Al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hikmah daripada pandemik COVID-19 telah membiasakan manusia ke arah perkara yang asing pada suatu ketika dahulu terutama dalam penggunaan teknologi yang melibatkan pengajian secara maya. Kini dengan norma baharu telah menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran manusia dalam penggunaan teknologi canggih rentas sempadan negara dan usia termasuk juga dalam pengajian Al-Quran. Tambahan pula dengan Al-Quran mampu membina ukhuwah yang menjadi faktor kejayaan dalam pembinaan negara bangsa.

Keberadaan mereka dalam sesi pengajian Al-Quran walaupun secara maya, para murid dan guru saling bersoal jawab dan berlakulah interaksi dua hala atau dalam kumpulan yang ramai. Ini penting kerana ukhuwah sesama Muslim adalah prasyarat kesempurnaan iman. Kelas pengajian Al-Quran juga menambah kemahiran dalam membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan betul terutama melibatkan tajwid, tanda bacaan, waqf ibtida’ dan sebagainya. Keseronokan belajar juga dirasai apabila masing-masing menjadikan kelas pengajian Al-Quran tersebut ibarat sebuah keluarga yang saling melengkapi dengan perkongsian ilmu yang sangat berguna ke arah menambah ilmu pengetahuan, kemahiran dan motivasi mereka.

Di samping itu, Al-Quran juga dapat membina masyarakat yang hidup berpaksikan ajaran Islam yang sebenar, yang pastinya memberi kejayaan dan kebahagiaan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat sana. Pengisian yang ada dalam Al-Quran mampu memacu manusia ke arah kesolehan terutama dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang sememangnya memerlukan kesabaran dan keyakinan yang tinggi untuk menghadapinya. Ia dapat dihayati dengan pelbagai kisah-kisah Anbiya’ dalam menghadapi penyakit, kata-kata motivasi dari Al-Quran, balasan syurga bagi Muslim yang redha dengan ketentuan takdir Allah SWT dan sebagainya. Isi kandungan Al-Quran mampu mendidik manusia supaya berpegang teguh dengan janji Allah SWT, tanpa sedikitpun keraguan berkenaan ujian yang menimpa diri, keluarga, masyarakat dan dunia.

Ini seiring dengan firman Allah SWT: “Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”. At-Tawbah ayat 40. Ia juga dapat menjadikan seseorang Muslim tenang apabila mengingatkan segala ujian ini adalah sebagai penghapus dosa. Ini sebagaimana Rasulullah bersabda: “Tidaklah seorang muslim ditimpa suatu keletihan dan penyakit (yang terus menimpa), kerisauan dan kesedihan, gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya, melainkan Allah akan menghapus dosa-dosanya”. (Riwayat Bukhari)

Pandemik COVID-19 bukanlah batu penghalang untuk meneruskan pembudayaan Al-Quran dalam kehidupan. Ini kerana umat Islam yang faham akan kepentingan dan kesan pengajian Al-Quran tetap meneruskannya seperti biasa, cuma kaedah pengajian sahaja yang berbeza. Jika sebelum ini mereka melakukannya secara pertemuan fizikal, namun dengan kehidupan norma baharu kini ianya telah berubah kepada pertemuan secara maya. Hakikatnya dengan Al-Quran mampu membina generasi yang diredhai Allah SWT yang menjadi paksi ke arah pembinaan tamadun yang gemilang.

Dr Shafiza Safie merupakan Pensyarah Kanan, UiTM Cawangan Kelantan dan Dr. Mohd Farhan Md Ariffin merupakan Pensyarah Kanan UKM Bangi

Artikel Penuh: 

https://bebasnews.my/?p=68444&utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=norma-baharu-pembudayaan-Al-Quran-ketika-pandemik-COVID-19&fbclid=IwAR2gsvV9I6l0esvYfO_BJHVgAyVgbYPSdppKbqrxrJxz3tO5Waf-6P7C17s