Naib Canselor UiTM Merasmikan Ladang Nanas Bukit Ilmu UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 13 Februari - UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menerima lawatan kerja oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor ke Ladang Nanas Bukit Ilmu UiTM Cawangan Kelantan bersama pihak pengurusan tertinggi universiti yang diiringi oleh TNC, PNC, Rektor, Timbalan-timbalan Rektor, staf dan pelajar UiTMCK. Turut hadir adalah Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (Cawangan Kelantan), Encik Zamani Abd Ghani untuk bersama-sama dalam perasmian Ladang Nanas Bukit Ilmu pada 13 Februari 2022.

Projek Ladang Nanas Bukit Ilmu merupakan inisiatif pihak UiTMCK dalam memberikan nilai tambah kepada universiti yang diletakkan di bawah tanggungjawab Unit Agrobisnes yang diketuai oleh Puan Hadhifah Fadhlina Ismail selaku penyelaras. Simbolik perasmian oleh YBhg. Naib Canselor dilakukan dengan penanaman kelapa dan tuaian hasil daripada projek Fertigasi Halia Bentong Bukit Ilmu. Aktiviti dilaksanakan dengan pematuhan SOP sebagaimana ditetapkan bagi mengawal penularan virus COVID-19.

Projek penanaman nanas MD2 fasa 1 seluas 4 ekar ini merupakan projek kerjasama UiTMCK dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dimana sebanyak 40,000 benih dibekalkan oleh LPNM. Penanaman Halia Bentong Bukit Ilmu dengan kaedah fertigasi pula merupakan projek kerjasama di antara UiTMCK dengan Pejabat Pertanian Jajahan Machang yang membekalkan peralatan fertigasi termasuk baja dan anak benih. Tanaman halia kini berusia 9 bulan dan akan dituai pada awal bulan Mac 2022.

Antara objektif kedua-dua projek ini adalah sebagai platform program pemindahan ilmu dan teknologi untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta sikap pelajar dan warga UiTM. Di samping itu, ia juga mampu menjana pendapatan untuk universiti, menggalakkan penulisan dan penerbitan serta membina jaringan industri dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, dan institusi lain sama ada dalam negara mahupun luar negara. Pelaksanaan projek-projek ini telah menyuburkan sifat kerjasama dalam kalangan staf, pelajar dan agensi kerajaan.