MACHANG, 30 November – Program Webinar Perkongsian Kepakaran iaitu Bual Bicara Bersama Usahawan Alumni UiTM Cawangan Kelantan telah berjalan dengan jayanya sempena program REIACt Day 2021 yang berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada 28 - 29 November 2021. Program REIACt Day merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni (PJIA) yang menghimpunkan pelbagai aktiviti berbentuk penyelidikan, keusahawanan, kemasyarakatan, industri dan alumni.
Tetamu jemputan merupakan alumni UiTM Cawangan Kelantan daripada program Diploma Pengurusan Maklumat iaitu Tuan Muhammad Razzin Jazmy bin Jalaluddin, Pengurus Operasi Cake Leleh Waffy Enterprise yang telah memiliki hampir 60 cawangan dan agen. Penglibatan dan kecekapan beliau dalam mengendalikan operasi syarikat telah menjadikan perniagaan tersebut telah dikenali ramai di seluruh Malaysia. Program yang telah berlangsung selama hampir dua jam ini telah berjaya mengupas tip-tip kejayaan beliau serta ilmu menjalankan perniagaan yang amat bermanfaat kepada para pelajar serta alumni. Selain daripada itu, perkongsian seperti ini juga dapat memberi inspirasi dan keyakinan kepada bakal graduan dan alumni untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan dan berupaya menjana pendapatan yang lumayan. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan pelbagai soalan oleh para peserta yang terdiri daripada para pelajar dan komuniti. Malah program ini turut juga disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi. Beliau turut mengucapkan tahniah atas penganjuran program ini dan para peserta yang terlibat.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan penglibatan UiTM Cawangan Kelantan dalam program kolaborasi yang berimpak tinggi bersama alumni. Ia juga sebagai menyempurnakan sebahagian daripada pengisian program REIACt Day 2021 yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat antara warga UiTM Cawangan Kelantan, komuniti dan alumni. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran alumni dengan warga UiTM dan komuniti.
Program seumpama ini wajar diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai tanda pengiktifaran kepada para alumni dan menjadi platform untuk mereka berkongsi kepakaran seterusnya menyuntik motivasi dan keyakinan kepada para pelajar dan graduan UiTM dalam menjadikan keusahawanan sebagai salah satu bidang untuk diceburi pada masa akan datang.
Penyedia laporan:
Siti Rosnita Sakarji
Penyelaras Unit Jaringan Alumni UiTMCK
#PJIA
#PJIAICANUiTMCK
#PejabatAlumniNetworkCentre
#ICANPrihatin2021
#ALUMNI
#uitmdihatiku
#UiTMCawanganKelantan