MACHANG, 13 Oktober - Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Zurich Takaful Malaysia Berhad telah dimeterai pada 10 Oktober 2021. MoU yang diadakan secara maya ini melibatkan wakil Naib Canselor UiTM, Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed, yang menjalankan tugas sebagai Rektor UiTM Cawangan Kelantan manakala Encik Nazrul Namizan Ahmad, Ketua Pegawai Agensi mewakili pihak Zurich Takaful.
Kerjasama yang dijalinkan bersama syarikat multinasional ini memberi fokus kepada agenda utama iaitu melahirkan usahawan takaful dalam kalangan mahasiswa melalui Modul Kursus Usahawan Takaful. Ini adalah selari dengan Dasar Keusahawanan Negara di Kementerian Pengajian Tinggi yang ingin melahirkan usahawan dalam kalangan mahasiswa dan graduan serta memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Di samping itu, MoU ini juga akan memberi peluang kepada mahasiswa UiTM untuk mendapat tempat dalam latihan industri. Selain daripada mahasiswa, para pensyarah juga akan diberi peluang untuk mengikuti latihan (Training of Trainers – ToT) dalam Keusahawanan Takaful.
Prof. Madya Dr. Zulkifli berkata, takaful merupakan salah satu elemen yang perlu diambil kira dalam perancangan kewangan. Memandangkan suasana pandemik Covid-19 yang melanda negara kini, pelan takaful telah menjadi satu keperluan dalam kalangan masyarakat untuk membiayai rawatan dan perubatan sekiranya berlaku sebarang musibah kepada seseorang individu. Tambah beliau lagi, kos rawatan dan perubatan di hospital meningkat jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang sebelumnya.
“Pensyarah UiTM juga berpeluang untuk mengadakan kolaborasi dalam penyelidikan, penerbitan, dan perundingan yang berkaitan dengan industri takaful”, katanya dalam ucapan beliau.
Manakala, Ketua Pegawai Agensi, En. Nazrul berkata, kerjasama ini akan dilaksanakan dalam dua kaedah iaitu secara berkala dan secara serentak mengikut keperluan dan persetujuan antara kedua-dua belah pihak.
Ujar Zulkifli lagi dalam ucapannya, kerjasama antara kedua-dua organisasi ini akan dapat meningkatkan lagi kecekapan dan kemahiran dalam kalangan mahasiswa UiTM terutama dalam industri takaful. Seterusnya, kerjasama ini juga dapat memberi pendedahan yang lebih luas kepada komuniti setempat dalam merancang kewangan yang dapat memberi financial freedom kepada mereka pada masa hadapan.