Prihatin dengan nasib golongan yang berpendapatan rendah yang terkesan oleh Pandemic COVID-19, AC Care, badan NGO Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Kelantan telah bekerjasama dengan NGO Muszleem Malaysia dalam Program Cakna Komuniti. Bertempat di Foyer Pentadbiran, tanggal 11 Ogos 2021, seramai 50 orang pekerja kontrak pembersihan UiTM Cawangan Kelantan telah menerima bantuan yang berupa 50 kotak infaq sumbangan Muszleem Malaysia dan pelitup muka sumbangan AC Care. Walau bagaimanapun, disebabkan menjaga kepatuhan SOP, hanya 11 orang sahaja yang hadir sebagai wakil penerima sumbangan.
Sumbangan disampaikan sendiri oleh Pengerusi Muszleem Malaysia, Tuan Hj. Ahmad Fadzli bin Fauzi dengan disaksikan oleh Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, menjalankan tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Syerina Azlin Md Nasir, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, Dr. Siti Haliza Asat, Pengerusi AC Care, wakil-wakil Muszleem Malaysia serta jawatankuasa pelaksana.
Program komuniti ini adalah program pertama AC Care setelah diluluskan sebagai pertubuhan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 28 Jun 2021. Adalah menjadi hasrat AC Care untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan terutama di kalangan komuniti dalaman UiTM iaitu pelajar, staf serta komuniti luar UiTM.