MACHANG, 28 Oktober - Program Level Up: LinkedIn for Career Success telah berjaya dianjurkan pada 27 Oktober 2025 (Isnin) secara atas talian melalui Google Meet, melibatkan penyertaan seramai 164 peserta termasuk mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan dan Ahli Kelab Evolusis.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para mahasiswa mengenai cara menulis resume yang berkesan, membina profil LinkedIn profesional serta memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, personal branding dan networking sebagai persediaan menghadapi dunia kerjaya.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Haji Hassanul Firman, Penasihat Kelab Evolusis UiTM Cawangan Kelantan. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua peserta yang mengambil bahagian serta menekankan kepentingan memanfaatkan platform profesional seperti LinkedIn bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan masa kini.
Sesi utama program disampaikan oleh penceramah jemputan yang berkongsi tip serta strategi membina profil LinkedIn yang efektif, merancang branding diri dan mengembangkan jaringan profesional. Peserta turut diberikan panduan langkah demi langkah untuk menonjolkan potensi diri secara profesional di alam maya.
Secara keseluruhan, program ini mendapat maklum balas positif daripada peserta. Mereka berasa lebih yakin untuk membina identiti profesional, memahami peranan LinkedIn dalam pembangunan kerjaya, serta mula melihat kepentingan membina jaringan industri sejak di bangku universiti.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi bagi membantu lebih ramai mahasiswa bersedia menempuh dunia pekerjaan dengan lebih kompeten dan berdaya saing.
Penyedia Laporan:
Saudara Muhammad Arif Tahir
Exco Korporat Kelab Evolusis
UiTM Cawangan Kelantan

