MACHANG, 7 Julai – Satu konferensi akademik antarabangsa, International Conference on Business and Social Sustainability (ICOBSS 2021) telah berjaya dilaksanakan secara maya pada hari Selasa, 29 Jun 2021. Konferensi antarabangsa ini adalah hasil kerjasama Pusat Pengajian Siswazah Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan dengan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan dan UiTM Kampus Kota Bharu. Konferensi antarabangsa ini telah mengumpulkan ahli akademik dan penyelidik dari universiti dalam dan luar negara yang mewakili pelbagai bidang kepakaran yang berkaitan. Ianya juga menjadi medan untuk ahli akademik dan penyelidik berkongsi hasil daripada penyelidikan terkini dalam isu-isu kelestarian dalam konteks perniagaan dan sosial.
Konferensi ini merupakan inisiatif pertama pihak penganjur bagi menyediakan platform kepada penyelidik, ahli akademik, pembuat polisi dan pakar daripada industri untuk membentangkan hasil penyelidikan bagi tujuan perkongsian ilmu dan pengalaman serta mendapatkan maklumat tentang hasil penyelidikan yang terbaharu. Dengan bertemakan Solidarity in The Sphere of IR4.0, sejumlah 46 penyertaan artikel telah dibentangkan dengan 3 tema berbeza; pengurusan, pemasaran; perniagaan dan teknologi; dan kewangan dan ekonomi. Daripada jumlah artikel tersebut, empat daripadanya telah dinobatkan sebagai pemenang Best Paper Award berdasarkan kepada hasil kajian yang berkualiti dan mampu memberi impak menyeluruh kepada perniagaan dan sosial. Manakala, seorang pembentang telah dinobatkan sebagai Best Presenter.
Pihak penganjur juga turut menganjurkan satu bengkel pra-konferensi yang bertajuk ‘Tips & tricks to Publish a Systematic Literature Review (SLR) Paper in a High-Impact Journal’ sehari sebelum konferensi berlangsung, iaitu pada 28 Jun 2021. Ia disampaikan oleh penceramah jemputan, Profesor Dr. Nurul Indarti dari Universitas Gadjah Mada, Indonesia.
Konferensi ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UiTM. Manakala ucaptama pula disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Zaini Abdullah, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Seni Kreatif dengan tajuk "New Business Management Strategy: IR 4.0. A Social Innovation Perspective from Responsive to Resilient”.
YBhg. Prof. Dr. Zaini dalam ucapan beliau menyatakan, dalam mendepani dunia digital, orang awam dan peniaga-peniaga perlu meningkatkan komitmen diri dengan menambah nilai diri agar tidak ketinggalan di belakang. Menurut beliau lagi, inovasi sosial sangat penting sebagai persediaan untuk mengharungi dunia yang penuh mencabar. Sehubungan itu, kepakaran akademik sosial penting untuk dikongsikan demi memastikan kestabilan ekosistem kehidupan. Sebagai tambahan, sektor pendidikan perlu di tambah baik untuk memastikan perjalanan akademik bergerak seiring dan efektif dengan perubahan teknologi.
Program ini ditutup dengan rumusan daripada Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed yang menjalankan tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Beliau meluahkan rasa bangga atas usaha pihak pengajur yang diketuai oleh Dr. Zurina Ismail (Pengerusi) dan dua orang Timbalan Pengerusi, Dr. Wan Marhaini Wan Omar dan Prof. Madya Dr. Zuhal Hussein.
Penyedia Laporan: Norsilawati binti Mohd Hassan