Program CSR Vitamin Ilmu: “Next-Gen Library Leaders”

Program CSR Vitamin Ilmu: “Next-Gen Library Leaders”

MACHANG, 18 Disember – Perpustakaan Tengku Anis (PTA), dengan kerjasama Fakulti Sains Maklumat UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Program CSR Vitamin Ilmu: “Next-Gen Library Leaders” bertempat di PTA, UiTM Cawangan Kelantan pada 9 Disember 2025. Program ini melibatkan penyertaan murid-murid Sekolah Kebangsaan Zainab (2), Kota Bharu yang merupakan pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS).

Program ini bertujuan menyemai minat membaca, meningkatkan literasi maklumat serta memupuk kepimpinan pengawas pusat sumber sebagai pemimpin perpustakaan masa hadapan. Program ini turut menyokong usaha universiti dalam memperkasa komuniti setempat melalui pembangunan modal insan berteraskan budaya ilmu. Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 8.30 pagi diikuti sesi menandatangani sijil Jalinan Kolaborasi sebagai simbolik kerjasama strategik antara sekolah, perpustakaan dan fakulti.

Program diteruskan dengan beberapa slot interaktif mengikut tentatif, antaranya:

• Slot Literasi Maklumat (Speed Reading) yang dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Rosmariyati Ab. Rahman bagi mendedahkan teknik bacaan pantas.

• Slot “Next-Gen Library Leaders” oleh pensyarah Fakulti Sains Maklumat, Puan Siti Aswani Mohd Ghazali yang menekankan peranan kepimpinan era digital dalam mengurus PSS secara berkesan.

• Slot Peranan dan Etika Pengawas PSS oleh Puan Norfitriah Mat Seman yang memperincikan tugas, etika dan nilai integriti sebagai pengawas PSS.

• Lawatan berpandu ke Perpustakaan Tengku Anis bagi memberi pendedahan kepada infrastruktur, perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan akademik.

Program ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna, malah dapat menyuntik motivasi dan keyakinan kepada pengawas PSS untuk terus berperanan sebagai agen penyebaran budaya membaca di sekolah. UiTM Cawangan Kelantan akan terus komited melaksanakan program bagi menyokong aspirasi pendidikan negara dan memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan setempat. 

Penyedia Laporan:
Puan Siti Aswani Mohd Ghazali
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Maklumat