Program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, Sentuhan Komuniti Bestari @ Dabong

Program Kembara Ilmu Ini Warisan Kita, Sentuhan Komuniti Bestari @ Dabong

MACHANG, 9 November - Anyaman kelarai merupakan salah satu seni warisan Melayu yang mempunyai nilai estetika dan fungsi tersendiri di dalam kehidupan masyarakat terdahulu. Namun, seni anyaman tradisional ini semakin kurang dikenali oleh generasi muda akibat perubahan gaya hidup moden. Sehubungan itu, Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan telah menerima jemputan daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Perpustakaan Desa Negeri Kelantan (PD) sebagai rakan kolaborasi bagi menjalankan program Kembara Ilmu Inilah Warisan Kita, Sentuhan Komuniti Bistari @ Dabong. Program ini merupakan kesinambungan edisi pertama yang diadakan di Beaufort, Sabah pada tahun 2024. Oleh kerana ini merupakan kolaborasi strategik pertama pihak Jabatan Seni Reka Tekstil, FSSR UiTM Cawangan Kelantan, penampilan segmen khas “Bengkel Melestarikan Anyaman Kelarai” telah menjadi focus utama program. Ianya berlangsung pada 13 September 2025, di dalam kereta api disepanjang perjalanan dari Hentian Wakaf Bharu ke Hentian Kuala Gris, Dabong.

Pihak penganjur menekankan konsep mobiliti ilmu dengan menjadikan kereta api sebagai simbol inklusiviti dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Pendekatan ini menawarkan kaedah pembelajaran luar bilik darjah yang inovatif, di mana peserta dapat mengikuti pelbagai aktiviti menarik dan unik yang dirangka sepanjang perjalanan. Dengan cara ini, program bukan sahaja memberi pengalaman berbeza, malah turut memperkukuh semangat kebersamaan serta menghargai kepelbagaian budaya dan warisan tempatan. Objektif program ini adalah untuk memelihara dan melestarikan seni warisan anyaman kelarai di samping memberi pendedahan praktikal kepada para

peserta mengenai teknik asasnya. Melalui penganjuran bengkel ini juga, diharapkan dapat meningkatkan rasa bangga terhadap warisan budaya tempatan serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Selain itu, program ini menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG-4) dengan memperluaskan akses pendidikan tidak formal berasaskan warisan budaya.

Program ini dimulakan dengan sesi taklimat dan pendaftaran peserta di Stesen Wakaf Bharu yang dikendalikan oleh Perpustakaan Desa dan Perpustakaan Negara Malaysia, di mana peserta mendaftar serta mendengar taklimat keselamatan sebelum memulakan kembara. Sepanjang perjalanan, pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti Melodi Rentak Rel, iaitu nyanyian lagu rakyat dan warisan yang dikendalikan oleh Institut Pendidikan Guru Kota Bharu bagi membina semangat komuniti. Selain itu, terdapat aktiviti Klik dan Kembara yang menggabungkan rakaman foto perjalanan dengan kuiz warisan, serta Kuiz Kembara Ilmu oleh pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang menguji pengetahuan peserta tentang warisan dan lokasi yang dilalui. Program turut diserikan dengan permainan tradisional seperti teka objek, sambung pantun dan peribahasa yang dikendalikan oleh Perpustakaan Desa, menjadikan suasana lebih menyeronokkan, santai dan mendidik sepanjang kembara ilmu ini.

Peserta program turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi Kenali Kelantan: Jelajah Rel Timur yang dikendalikan oleh Persatuan Pemandu Pelancong Kelantan bagi memperkenalkan budaya, sejarah dan keunikan lokasi sepanjang laluan tren rel timur. Seterusnya, melalui sesi Baco @ Kereta Api oleh pegawai u-Pustaka Perpustakaan Negara Malaysia, peserta diberi pendedahan mengenai platform u-Pustaka serta dibimbing untuk mendaftar dan meneroka bahan bacaan digital. Aktiviti Kuiz Sek Kito Jange Pecoh pula yang dikendalikan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan dilaksanakan secara santai berasaskan warisan dan budaya tempatan bagi menguji pengetahuan serta menyemai semangat kekitaan. Selain itu, sesi InfoHunter: Cari, Tapis, Guna oleh pegawai e-LMM Perpustakaan Negara Malaysia memberikan latihan literasi maklumat digital supaya peserta mampu mengenal pasti dan menilai maklumat sahih secara bertanggungjawab. UiTM Cawangan Kelantan tampil dengan aktiviti Bengkel Melestarikan Anyaman Kelarai, iaitu demonstrasi asas anyaman tradisional dan bengkel menghasilkan anyaman motif Kelarai oleh secara interaktif di dalam tren.

Program disertai oleh 150 peserta daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan, institusi swasta, serta komuniti setempat. Sebanyak 35 peserta terdiri daripada kakitangan, pensyarah dan pelajar UiTM Cawangan Kelantan. Bagi tujuan keberkesanan dan kemeriahan program, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Dr. Mohd Affandi Mat Rani turut hadir dan menjadi peserta Bengkel Melestarikan Anyaman Kelarai bersama Penolong Pendaftar Kanan UiTM Cawangan Kelantan, En. Hishamudin Mohamad Twontawi, dan Pustakawan Kanan Perputakaan Tengku Anis UiTM Cawangan Kelantan, Pn. Nurdelina Zulkarnain. Sebanyak 150 kit anyaman kelarai yang disediakan dan diagihkan kepada setiap peserta yang melibatkan 3 gerabak KTM. Bengkel anyaman kelarai berlangsung selama 30 minit bagi setiap gerabak dan seterusnya disusuli oleh aktiviti dan program daripada agensi dan institusi lain yang terlibat.

Program ini berjaya mencapai objektif utamanya, iaitu menggabungkan elemen pendidikan, warisan budaya, dan perpaduan komuniti dalam satu platform pembelajaran yang kreatif. Peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran asas anyaman kelarai, malah meningkatkan kefahaman tentang nilai warisan serta kepentingannya dalam membentuk jati diri bangsa. Pendekatan pembelajaran mobil ini juga telah membuktikan bahawa ilmu boleh disampaikan dengan cara yang segar, inklusif dan bermakna. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan sebagai wadah memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat.



Penyedia laporan :

Pensyarah Jabatan Seni Reka Tekstil
Puan Anis Ediana Mohd Fauzi – Ketua Projek
EncikAdib Bin Mohd Hassan – Penyelaras Program AD112
Puan Aneeza Mohd Adnan - Pensyarah Kanan
Encik Hamdan Hj. Lias – Pensyarah Kanan
Encik Mohd Bakeri Bin Ab. Rahman - Pensyarah Kanan
Puan Wan Salwana Wan Sulaiman - Pensyarah         
Puan Zainab Binti Anuar - Pensyarah

Pensyarah Jabatan Seni Reka Logam Halus
Ts. Mohd Masdi Abdul Manan - Pensyarah
Ts. Emilia Bt. Abdull Manan - Pensyarah Kanan
Ts. Rozita Bt. Shamsuddin - Pensyarah Kanan

 

Jawatankuasa Dokumentasi
Dr. Siti Rosnita Binti Sakarji – Penyelaras Hubungan Komuniti
Puan Nordelina Zulkarnain – Timbalan Pustakawan Kanan
Encik Muhammad Syafiq Hassan – Pensyarah
Encik Hishamudin Mohamad Twontawi – Timbalan  Pendaftar Kanan