Kembara Merdeka: Houseboat Tasik Kenyir

Kembara Merdeka: Houseboat Tasik Kenyir

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – PEWANI UiTM Cawangan Kelantan mencipta sejarah apabila julung kalinya menganjurkan Program Kembara Merdeka: Houseboat Tasik Kenyir dengan kerjasama Kelab Senamrobik Komuniti (KESKOM) dan Ladies X50 KC. Program ini berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos 2025 dengan penyertaan seramai 27 orang peserta terdiri daripada ahli PEWANI serta komuniti setempat.

Menurut Timbalan Pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Kelantan, Puan Siti Aswani Mohd Ghazali, penganjuran ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara ahli PEWANI dan masyarakat di samping menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 melalui pelbagai aktiviti riadah yang sihat dan menyeronokkan. “Saya amat berbesar hati melihat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini. Semoga Kembara Merdeka ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kesedaran dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai komuniti,” ujar beliau.

Selain memperkukuh rasa cinta terhadap tanah air, program ini juga memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar, agar peserta lebih menghargai keindahan semula jadi Tasik Kenyir yang menjadi khazanah negara.

Program ini diurus dan dirancang dengan penuh dedikasi oleh Puan Hasyyati Kassim, Ketua Biro Sukan dan Rekreasi PEWANI bersama Puan Afida Mohamed, Ketua Biro Kebajikan PEWANI. Antara pengisian simbolik yang diadakan ialah Senamrobik Kibaran Jalur Gemilang, yang menzahirkan semangat patriotisme dalam kalangan peserta. Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuklah pendakian ke Air Terjun Soak, aktiviti berkayak, snorkeling, mandi-manda, sesi karaoke, senamrobik, BBQ, ramah mesra serta lawatan ke Taman Herba.

Penyedia Laporan:
Puan Hasyyati Kassim
Ketua Biro Sukan dan Rekreasi
PEWANI UiTM Cawangan Kelantan