ITNOVA: 'The Innovation Spectrum - Final Year Project (FYP) Presentation & Exhibition'

ITNOVA: 'The Innovation Spectrum - Final Year Project (FYP) Presentation & Exhibition'

MACHANG, 28 Julai - Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer & Matematik, UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan program ITNOVA: The Innovation Spectrum - Final Year Project (FYP) Presentation & Exhibition dalam kalangan pelajar tahun akhir CS240 pada 22 Julai 2025 (Selasa). Final Year Project (FYP) merupakan salah satu komponen utama dalam penilaian akademik pelajar tahun akhir bagi program Sarjana Muda Teknologi Maklumat (CS240). Ia memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan kemahiran teknikal, kreativiti dan kebolehan menyelesaikan masalah melalui pembangunan sistem atau aplikasi teknologi maklumat.

Objektif utama program ini dijalankan ialah untuk menyediakan platform kepada pelajar mempamerkan hasil projek tahun akhir sekaligus mengiktiraf usaha dan kreativiti pelajar melalui anugerah yang disediakan. Di samping itu, program sebegini dapat mewujudkan budaya inovasi dan semangat kompetitif yang sihat dalam kalangan para pelajar. Program ini bermula pada jam 8.00 pagi dengan persiapan booth di bilik-bilik kuliah blok D oleh setiap pelajar yang telah bersiap-sedia untuk menghias booth masing-masing mengikut tema projek mereka. Kemudian, para pensyarah Jabatan Sains Komputer mula bergerak ke booth pelajar bagi sesi pembentangan dan soal jawab pada pukul 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Ketika slot tersebut, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail turut berkunjung melawat ke pameran projek pelajar.

Melalui pameran juga, satu bentuk pertandingan telah dianjurkan bagi meraikan pencapaian pelajar serta memberi peluang kepada warga kampus untuk melihat hasil kerja ini. Terdapat lima kategori hadiah yang telah dinilai sepanjang program ini berlangsung. Antaranya ialah Best Presentation, Best Report, Best Booth, Best Poster dan akhir sekali Best Overall Project beserta dengan tiga anugerah iaitu Bronze, Silver dan Gold Award. Setelah selesai sesi penjurian, majlis penutup diadakan di AU300 bagi meraikan pencapaian pelajar yang telah bertungkus-lumus menyiapkan projek tahun akhir mereka. Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Muhammad Firdaus Mustapha selaku Pengarah Program dan diteruskan oleh Dr. Suriana Alias selaku Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Komputer & Matematik. Kemudian, majlis telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail dan sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang anugerah.

Penyedia Laporan:
Puan Nik Nahdiya Nik Kamaruzaman
Pensyarah
Fakulti Sains Komputer & Matematik
UiTM Cawangan Kelantan