Program Memperkasa Hubungan: Jelajah Alumni Berjaya UiTM Encik Khairul Azizi Ramli (Pengarah Urusan GIBS International Sdn Bhd)

KOTA BHARU, 23 Februari - UiTM Cawangan Kelantan melalui Unit ICAN Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (BPJIM&A) dengan kerjasama Pusat Jaringan Alumni (ANC) telah menganjurkan Jelajah Alumni 2025 sebagai inisiatif bagi mengeratkan hubungan antara institusi dan alumni yang telah berjaya dalam pelbagai industri. Program ini membuka ruang bagi UiTM untuk menjalin kerjasama dengan alumni serta meneroka peluang baharu dalam pembangunan akademik dan keusahawanan. Selain itu, program ini juga mewujudkan peluang penempatan pelajar dan staf UiTM bagi latihan industri bersama syarikat alumni.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh delegasi UiTM Shah Alam yang terdiri daripada Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah (Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, ICAN), Profesor Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti (Pengarah Pusat Jalinan Alumni) dan Encik Muhamad Luthfi Mohaini (Ketua Jaringan Alumni UiTM). Manakala delegasi UiTM Cawangan Kelantan pula terdiri daripada Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani (Rektor), Dr. Norzieha Mustapha (Timbalan Rektor PJIM&A), Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff (Koordinator ICAN), Profesor Madya Dr. Marziana Madah Marzuki (Koordinator RMU), Puan Rabaatul Azira Hassan (Penyelaras Jaringan Alumni), Puan Shalwati Ramli (Penolong Pendaftar Kanan BPJIM&A) dan barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Kelantan serta Jawatankuasa Jelajah Alumni Berjaya UiTM Cawangan Kelantan.

Jelajah ketiga bagi Program Memperkasa Hubungan Jelajah Alumni Berjaya UiTM diteruskan ke GIBS International Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang diasaskan oleh alumni UiTM Shah Alam iaitu Encik Khairul Azizi Ramli. GIBS International bermula sebagai pengeluar produk arang sejak tahun 2011 dan kemudian berkembang ke dalam sektor pertanian dengan membekalkan input pertanian sejak 2018. Syarikat ini juga telah berjaya mengembangkan perniagaannya ke pasaran antarabangsa, termasuk Thailand pada tahun 2023 dan Indonesia pada tahun 2024. Selain itu, GIBS turut mengilang dan memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan daya saing produk mereka. Pihak GIBS turut menekankan bahawa dalam dunia perniagaan yang dinamik, syarikat perlu sentiasa kreatif dan inovatif, tidak boleh hanya bergantung kepada produk sedia ada. Selain itu, GIBS turut menegaskan bahawa pemasaran digital adalah faktor utama dalam memperluaskan pasaran dan membina jenama yang kukuh.

Encik Khairul Azizi Ramli berkongsi bahawa beliau berasal daripada keluarga yang sederhana dan beliau berjuang untuk meneruskan dan menamatkan pengajian di UiTM. Disebabkan itu, beliau telah memulakan perniagaan semasa dalam pengajian lagi. Beliau bermula dengan kerjaya sebagai arkitek dan akhirnya berhenti kerja dan mengusahakan syarikat GIBS International Sdn. Bhd. pada tahun 2011. Beliau merupakan seorang yang kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk jualan. Beliau turut berkongsi bahawa antara rahsia kejayaan beliau adalah melalui pengembaraan beliau ke negara-negara lain bagi mendapatkan idea perniagaan dan jaringan dengan syarikat-syarikat yang berkaitan di luar negara. Selain itu beliau turut bersetuju bahawa kepentingan pemasaran digital dan kuasa ‘viral’ amatlah penting dalam memacu pertumbuhan perniagaan samada di peringkat nasional atau antarabangsa.

Penyedia Laporan:
Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff
Koordinator ICAN
Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni
UiTM Cawangan Kelantan