MACHANG, 2 Disember – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn (JPK THO) telah mengadakan program Urban Discovery: Distance to Difference di Jakarta, Indonesia pada 16 November hingga 21 November 2024. Program ini melibatkan 4 orang staf UiTM Cawangan Kelantan dan 16 orang ahli JPK THO.
Matlamat JPK THO dalam program ini adalah untuk meneroka kaedah pengurusan, kemudahan dan penginapan kolej kediaman di Universitas Trisakti bersama mahasiswa Universitas Trisakti, Indonesia. JPK THO juga telah melawat kesemua 9 fakulti di Universitas Trisakti bersama wakil-wakil Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) Fakultas.
Program ini diiringi oleh Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Kelantan dan Encik Wan Mohd Firdaus Wan Mohamad, Ketua Staf Residen Kolej merangkap Pegawai Pengiring Program Urban Discovery: Distance to Difference. Turut hadir ialah Dr. Khusyairie Marzuki dan Encik Edy Faizal Ramli serta saudari Aldina Mohd Faisal, Presiden JPK THO merangkap Pengarah Program Urban Discovery: Distance to Difference.
Program ini telah memberi peluang kepada JPK THO untuk berkongsi pengalaman dan pendapat bersama 30 orang mahasiswa di Universitas Trisakti tentang budaya, etnik dan bahasa. Selain itu, JPK THO berpeluang untuk mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia untuk memperoleh maklumat mengenai prosedur melanjutkan pelajaran di Indonesia.
Seterusnya, JPK THO telah menziarahi Pondok Yatim Dhuafa, sebuah rumah anak yatim yang terletak di Jakarta, Indonesia bagi menyampaikan sumbangan ikhlas hasil kutipan daripada penghuni Kolej Tun Hussein Onn (THO). JPK THO dan penghuni Kolej THO telah menghulurkan bantuan dan juga beramah mesra bersama pelajar-pelajar Pondok Yatim Dhuafa.
Pada penghujung program, pihak JPK THO telah disambut mesra oleh pihak Magic Art 3D Museum untuk meneroka dan meluangkan masa bersama-sama. Pengalaman yang dilalui serta ilmu yang diperolehi sepanjang program telah mencipta kenangan yang indah buat kesemua peserta sepanjang berada di Jakarta, Indonesia.
Penyedia Laporan:
Saudari Aldina Mohd Faisal
Pengarah Program
Urban Discovery: Distance to Difference
UiTM Cawangan Kelantan