Forum Bicara Ilmu Memperkasa Adiwangsa

MACHANG, 1 Disember - Forum Bicara Ilmu Memperkasa Adiwangsa merupakan platform intelektual yang memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh pengetahuan, kefahaman, dan penghayatan pelajar UiTM terhadap konsep Adiwangsa. Program yang berimpak tinggi ini telah menghimpunkan seramai 94 orang wakil pelajar daripada pelbagai persatuan dan kelab UiTM Cawangan Kelantan. Program ini telah mencerminkan komitmen golongan mahasiswa dalam memperjuangkan nilai kebangsaan yang luhur.

Panelis forum terdiri daripada individu berwibawa yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing:

  1. Prof. Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa)
  2. Dr. Khairudin Murad, Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu
  3. Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), UiTM Cawangan Kelantan
  4. Saudara Firdaus Hakimi Shurkawi, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Kelantan sesi 2023/2024, yang bertindak sebagai moderator.

Forum ini tidak hanya berfungsi sebagai medan diskusi, tetapi juga sebagai wahana percambahan idea kritis dalam usaha memperkukuh jati diri kebangsaan dan membentuk mahasiswa UiTM sebagai agen transformasi yang berwibawa. Usaha ini diyakini mampu melonjakkan agenda Pemerkasaan Adiwangsa serta memupuk kesedaran yang mendalam terhadap tanggungjawab sosial, agama, dan bangsa.

Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga memiliki daya saing dan nilai kepemimpinan yang berakar umbi pada identiti bangsa.

Penyedia Laporan:
Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad
Pengerusi Adiwangsa
UiTM Cawangan Kelantan