Finale Malam Pesona Melodi

MACHANG, 26 November 2024 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn dengan kerjasama Fatoni University, Prince of Songkhla University, Universitas Airlangga, dan Guanxi Minzu University telah berjaya menganjurkan program Finale Malam Pesona Melodi yang berlangsung dengan meriah di Medan Ilmu, UiTM Cawangan Kelantan. Program ini diadakan pada jam 8:30 malam hingga 11:00 malam dan berjaya menarik kehadiran lebih 5000 penonton, terdiri daripada mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan serta komuniti setempat.

Program Malam Pesona Melodi merupakan sebuah pertandingan nyanyian antara kolej yang bertujuan untuk menonjolkan bakat seni dan kreativiti mahasiswa. Objektif utama program ini adalah memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan kehebatan vokal mereka sambil menyediakan platform bagi mahasiswa dari pelbagai latar belakang untuk mengekspresikan kreativiti melalui nyanyian. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membina keyakinan diri dalam kalangan mahasiswa, sekali gus mempersiapkan mereka untuk tampil dengan lebih yakin di hadapan khalayak ramai.

Program ini telah mendapat sokongan padu dengan kehadiran Yang Berusaha, Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Kelantan, bersama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli. Turut hadir ialah Ketua Staf Residen Kolej, Encik Wan Mohd Firdaus Wan Mohammad, diiringi Staf Residen Kolej Tun Hussein Onn, Puan Wan Salwana Wan Sulaiman, serta Encik Faiz Iskandah.  Di samping itu, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga juri berpengalaman, iaitu Puan Aziana, yang lebih dikenali dengan nama Ibu Aziana, Encik Arman Mat Daud, Kerani Kaunseling Pusat Kerjaya dan Kaunseling, serta juri terakhir, Rowena Aynna Redzal, Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2023/2024. Turut memeriahkan majlis ialah barisan Staf Residen Kolej, Presiden Jawatankuasa Tertinggi Kediaman, Adam Mansor, dan Presiden Jawatankuasa Kolej Tun Hussein Onn, Saudari Aldina Faisal.

Program ini mendapat sambutan baik daripada semua penonton, dengan maklum balas menyatakan bahawa persembahan daripada Fatoni University, Prince of Songkhla University, Universitas Airlangga, dan Guanxi Minzu University memberikan impak yang lebih besar kerana kelainan yang ditampilkan oleh mereka. Keunikan ini turut memeriahkan persaingan, di mana tempat pertama disandang oleh Non-Residen, yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM200. Tempat kedua pula dimenangi oleh Kolej Tun Abdul Rahman dengan hadiah wang tunai berjumlah RM100, manakala tempat ketiga diraih oleh Kolej Tun Abdul Razak, dengan peserta menerima hadiah berjumlah RM50.

Penyedia Laporan:

Aisya Zainal Ludin

Pengarah Program Malam Pesona Melodi