MACHANG, 25 November - Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan terus berusaha mencetus minat generasi muda dalam sains dan teknologi melalui penganjuran program bertajuk ‘Eksplorasi Teknologi Roket Generasi Muda’. Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan program Malaysia Rocket Competition 2024 (MRC2024) yang berlangsung pada bulan September lalu. Program ini disasarkan kepada pelajar berusia 6 hingga 12 tahun. Program yang berlangsung sepanjang Oktober 2024 ini bertujuan untuk memperkenalkan teknologi roket dengan cara yang interaktif dan menyeronokkan.
Bersempena Minggu Sains Negara 2024, acara penutupan Eksplorasi Teknologi Roket Generasi Muda telah diadakan pada 27 Oktober 2024. Program ini adalah hasil kerjasama antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta Kolej Pengajian Pengkomputeran, Infomatik & Matematik (KPPIM) UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang. Dikendalikan oleh High Energy Material Research Laboratory (HEMREL), UiTM Shah Alam, program ini dirancang untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) melalui gabungan pembelajaran teori dan praktikal dalam teknologi roket.
Terdahulu, pada tahun 2022, program pengenalan teknologi roket ini telah berjaya diadakan di tiga lokasi utama, iaitu UiTM Shah Alam, UiTM Kampus Arau, dan UiTM Kampus Pasir Gudang, dengan sambutan yang amat menggalakkan. Kejayaan ini mendorong pelaksanaan semula program pada tahun 2024, dengan memperluaskan ke pantai timur dan UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang telah menjadi pilihan.
Tahun ini, program telah mendapat sambutan hangat di empat lokasi utama: UiTM Shah Alam pada 7 Oktober, UiTM Kampus Arau pada 14 Oktober, UTHM Batu Pahat pada 20 Oktober, dan ditutup secara rasmi di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang pada 27 Oktober 2024. Di samping aktiviti fizikal, tiga sesi dalam talian turut diadakan, menawarkan topik menarik seperti “Pengenalan kepada Teknologi Roket” pada 12 Oktober 2024, “Kenali Badan Cakerawala” pada 19 Oktober 2024, dan “Teknologi Angkasa untuk Kanak-kanak: Semua Tentang Satelit” pada 26 Oktober 2024.
Akhir kata, semoga program seperti ini dapat diperluaskan ke negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak, memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar sekolah rendah di seluruh negara untuk terlibat. Usaha HEMREL dalam memperkembangkan inisiatif ini juga diyakini akan membantu kerajaan memperkukuh minat pelajar terhadap STEM, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berinovasi dan berdaya saing pada masa hadapan.
Selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2023 serta persediaan pelancaran “Bandar Angkasa” di Malaysia, diharapkan pada tahun hadapan, program ini dapat berkembang lebih jauh sebagai satu langkah strategik dalam menjadikan negara ini sebagai hab teknologi angkasa serantau. Langkah ini bukan sahaja menyokong minat pelajar dalam STEM, tetapi juga memperkukuhkan persediaan generasi masa depan dalam memenuhi keperluan industri angkasa negara.
Penyedia Laporan:
Puan Asiah Mat
Pensyarah
Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik
UiTM Cawangan Kelantan