TERENGGANU, 14 November - Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UiTM Cawangan Kelantan dengan Kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Machang telah menganjurkan Program Rakan Bumi: Plogging Komuniti Peringkat Daerah Machang Siri 4 pada 9 November 2024 di Bukit Keluang, Besut, Terengganu. Program ini telah disertai seramai 45 orang Pegawai Kadet SISPA (PKS) dan diiringi oleh 2 orang pegawai iaitu Kapt. Bersekutu (PA) Mohd Azrul bin Sidek, Pegawai Sukarelawan Kor SISPA UiTM Cawangan Kelantan dan Kpl. (PA) Edy Faizal bin Ramli, Jurulatih Kor SISPA UiTM Cawangan Kelantan.
Objektif program ini adalah untuk memupuk kesedaran sosial sekaligus membangkitkan semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa. Setibanya peserta di Bukit Keluang, aktiviti pertama yang dijalankan adalah mendaki bukit dan diikuti oleh aktiviti pembersihan pantai. Melalui aktiviti-aktiviti ini mahasiswa bukan sahaja dapat membersihkan persekitaran pantai yang menjadi tarikan pelancong, malahan mereka juga dapat mencuba aktiviti baharu yang mencabar mereka untuk keluar daripada 'zon selesa'.
Program diteruskan lagi dengan aktiviti sukaneka seperti ‘Belonku Sayang, Pop the Balloon’ dan ‘Mahkota Air Kain Pelikat’. Melalui aktiviti-aktiviti ini, mahasiswa dapat meningkatkan semangat setia kawan dan merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka, sekaligus mencipta kenangan indah yang tidak dapat dilupakan. Dalam dunia yang penuh cabaran ini, suasana pantai dan alam yang menghijau dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti hidup mahasiswa.
Secara keseluruhannya, melalui aktiviti yang dijalankan dalam program ini seperti mendaki bukit, mengutip sampah di persisiran pantai dan pelbagai lagi aktiviti sukaneka dapat membudayakan gaya hidup yang cergas dalam kalangan mahasiswa. Tambahan lagi, ianya juga dapat menggalakkan amalan memelihara alam sekitar dan meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat.
Penyedia Laporan:
Saudari Wan Nur Wajihah Wan Ramli
Setiausaha Kerja
Kor SISPA UiTM Cawangan Kelantan