Pengajaran Kolaboratif Bersama Pakar Industri Habib Jewels Sdn. Bhd.

MACHANG, 23 Julai - Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Kelantan telah bekerjasama dengan Habib Jewels Sdn. Bhd. dalam menganjurkan sesi pengajaran kolaboratif bersama pakar industri. Sesi pengajaran kolaboratif bersama pakar industri ini merupakan pendekatan pembelajaran yang melibatkan kolaborasi antara para pelajar, tenaga pengajar, dan pakar dari industri. Sesi ini bertujuan memberi pelajar pendedahan secara langsung kepada pengalaman dan pengetahuan dalam industri barang kemas, serta membantu mereka mengaplikasikan teori kepada amalan praktikal dalam menghasilkan rekaan yang kompetitif. Komponen sesi pengajaran kolaboratif bersama pakar industri memfokuskan kepada penyampaian maklumat berkaitan dengan topik yang relevan serta penerangan mengenai trend semasa, cabaran, dan peluang dalam industri.

Puan Shiela Osman merupakan pakar industri dari Habib Jewel Sdn. Bhd. yang dijemput untuk sesi pengajaran kolaboratif pada kali ini. Beliau merupakan seorang tokoh penting dalam industri barang kemas di Malaysia. Beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pereka di Habib Jewels Sdn. Bhd., salah satu jenama barang kemas terkemuka di negara ini. Dengan pengalaman 25 tahun dalam bidang rekaan barang kemas, Puan Shiela telah memainkan peranan yang penting dalam mengembangkan dan memperkayakan portfolio rekaan barang kemas tanah air. Sebagai seorang ketua pereka di Habib Jewels, beliau berusaha untuk mengukuhkan jenama tersebut sebagai peneraju dalam industri barang kemas. Beliau sentiasa komited untuk terus mencipta rekaan yang tidak hanya cantik dan elegan tetapi juga mencerminkan warisan budaya yang kaya dengan nilai estetik dan kualiti yang tinggi, serta dapat diterima di pasaran global.

Sesi pengajaran kolaboratif bagi kod kursus JMD123 (Rekaan Lukisan Logam/ Metal Design Drawing) merupakan sesi perkongsian berkaitan kriteria rekaan barang kemas yang bersesuaian atau menepati kriteria bagi pertandingan rekaan barang kemas di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sesi ini telah dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet melibatkan seramai 3 orang pensyarah dan juga 41 orang pelajar daripada tiga kumpulan pelajar Program Seni Reka Logam Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Cawangan Kelantan. Perkongsian daripada pakar industri ini membantu para pelajar untuk mencari idea rekaan di samping mengembangkan idea rekaan mengikut sesuatu tema atau konsep pertandingan. Proses dan langkah penghasilan sesuatu rekaan turut dikongsi oleh Puan Shiela dalam sesi ini bagi memberi pemahaman mendalam kepada pelajar untuk menghasilkan sesuatu rekaan dan mendorong mereka berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah dalam rekaan.

Objektif program ini adalah untuk:

  1. Memperkaya Pembelajaran: Memberi pelajar pandangan dan perspektif terkini dari pakar industri di samping membantu pelajar memahami aplikasi praktikal dan teori rekaan barang kemas.
  2. Membangunkan Kemahiran Praktikal: Melatih pelajar dalam kemahiran rekaan dan pembuatan barang kemas yang relevan dengan industri dan mempersiapkan diri pelajar dengan cabaran dan tuntutan pertandingan rekaan barang kemas.
  3. Menggalakkan Jaringan Profesional: Memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dan membina hubungan dengan pakar industri serta membantu pelajar mendapatkan bimbingan dan nasihat profesional.

Sesi pengajaran kolaboratif bersama pakar industri memberikan pelajar peluang untuk belajar secara langsung dari profesional yang berpengalaman dalam bidang mereka. Melalui pendekatan ini, pelajar dapat mengaplikasikan teori kepada amalan praktikal, membangun kemahiran yang relevan, dan mendapatkan pandangan yang berharga mengenai industri. Ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar tetapi juga mempersiapkan mereka dengan lebih baik untuk menghadapi cabaran dalam kerjaya masa depan mereka kelak.

Penyedia Laporan:
Encik Muhamad Shafiq Muda
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Ts. Rozita Shamsuddin
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Ts. Emilia Abdull Manan
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Encik Muhammad Faiz Iskandah
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif