MINI SAMBUTAN 25 TAHUN UiTM: “Kayuhan Kapsul Merentas Kampus Cawangan Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti”

MACHANG, 30 Jun – Program Kayuhan Kapsul Merentas Kampus Cawangan dianjurkan bersempena sambutan 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti. Program ini diadakan sepanjang tahun 2024 dan kemuncak sambutan akan diadakan pada Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024.

Kayuhan telah bermula pada 20 Jun 2024 (Khamis) jam 8:00 pagi dan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM di Perkarangan Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam.  Program kayuhan ini dijangka akan tamat pada awal Ogos 2024.

Masa yang diambil adalah selama lebih 2 minggu bagi sesi kayuhan ke cawangan UiTM di seluruh semenanjung Malaysia dan 2 minggu berikutnya sesi kayuhan ke cawangan UiTM di Sabah dan Sarawak. Program ini dinamakan sebagai ‘Kayuhan Kapsul’ kerana pengayuh yang berkayuh ke setiap kampus adalah merupakan wakil kepada pengurusan universiti yang hadir untuk mengumpul hasrat dan harapan warga UiTM cawangan untuk tempoh 25 tahun akan datang untuk diserahkan kepada UiTM. Kapsul ini akan dipahatkan di sebuah monumen yang akan dibina dan dirasmikan semasa sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024

Penaung Projek Kayuhan Kapsul Merentas Cawangan ini adalah Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM yang juga akan berkayuh bersama peserta kayuhan mengikut jadual yang akan ditentukan.

Peserta kayuhan terdiri dari tujuh (7) orang staf daripada seluruh cawangan dan empat (4) orang pelajar, mereka ini dipilih berdasarkan saringan yang telah dijalankan. Kesemua peserta kayuhan mempunyai latar belakang berkayuh dan pernah mewakili universiti dalam pertandingan-pertandingan berbasikal, duathlon, triathlon dan acara-acara larian yang dianjurkan sama ada di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa. UiTM Cawangan Kelantan mempunyai dua orang wakil pengayuh iaitu Encik Muhammad Faiz Iskandah dan Ts. Mazlam Che Yusoff Gemeti yang bersama-sama menyertai pasukan kayuhan UiTM pada kali ini.

Jarak Kayuhan Kapsul Merentas Kampus Cawangan ini adalah sejauh 2,000KM bagi semenanjung Malaysia dan 1,500KM bagi Sabah dan Sarawak. Jarak ini merangkumi seluruh kampus utama di cawangan yang bermula dari UiTM Shah Alam dan akan berakhir juga di UiTM Shah Alam.

Pasukan kayuhan UiTM tiba di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang pada 25 Jun 2024 (Selasa) jam 6:30 petang dari UiTM Kampus Dungun dengan jarak keseluruhan 208KM dan alhamdullilah mereka telah sampai dengan selamat dan disambut oleh pihak pengurusan universiti serta mahasiswa UiTMCK. Pasukan kayuhan dan kru-kru terus berehat bagi meneruskan perjalanan seterusnya pada keesokan harinya ke Pulau Banding, Gerik dengan kiraan jarak sejauh 189KM.

Pada 26 Jun 2024 (Rabu) adalah sesi pelepasan pasukan kayuhan UiTM dari UiTM Cawangan Kelantan ke Pulau Banding, Gerik Perak. Sesi pelepasan dimulakan dengan aktiviti bersama staf dan mahasiswa bersama-sama melakukan senaman aerobik dan kemudian ke acara penyerahan “Hasrat UiTM untuk 25 tahun akan datang” yang telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik.

Kemudian pihak pengurusan universiti meneruskan acara seterusnya dengan tanaman pokok yang disumbang oleh Pulau Banding Foundation. Jutaan terima kasih kepada Pulau Banding Foundation sebagai penaja dan kolaborasi bersama UiGC UiTM bagi mewujudkan kesedaran kelestarian hijau dan juga agenda SDG UiTM. Penajaan dan kolaborasi ini mengeratkan lagi silaturahim bersama pihak penaja dan UiTM untuk program-program yang akan datang. Simbolik penanaman pokok yang ditaja oleh Pulau Banding Foundation melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 400 pohon pokok, setiap kampus diberikan amanat untuk menanam 25 pohon pokok bagi simbolik 25 tahun sambutan UiTM sebagai sebuah Universiti. Usaha UiTMCK ini dapat membantu kempen kerajaan dalam mencapai matlamat Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Sokongan padu yang diberikan oleh semua staf dan mahasiswa UiTM Cawangan Kelantan kepada pengayuh-pengayuh basikal yang telah menjayakan Kayuhan Sempena Sambutan 25 Tahun UiTM mempamerkan semangat kesatuan dan kerjasama yang tinggi sebagai satu unit yang mempunyai matlamat yang sama. Kemeriahan sambutan dirasai bersama walaupun berjauhan secara lokasi. Semoga peserta kayuhan pada kali ini tidak putus semangat dan kekalkan kayuhan mereka agar sampai ke lokasi penamat dengan selamat.

Penyedia Laporan:
Unit Komunikasi Korporat
UiTM Cawangan Kelantan