Ekspo Selangkah Ke UiTM 2024 (ESKU 2024)

MACHANG, 13 Jun - Program Ekspo Selangkah ke UiTM 2024 (ESKU 2024) anjuran Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berlangsung dengan jayanya pada 8 dan 9 Jun 2024, bertempat di Blok Akademik D, Kampus Machang. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar lepasan SPM, STPM, STAM, Matrikulasi, Diploma dan setaraf mengenai program-program yang ditawarkan di UiTM seluruh negara.

Program ESKU 2024 ini berlangsung selama dua hari bermula pada hari Sabtu dan berakhir pada hari Ahad. Pada kali ini, ESKU 2024 menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti semakan kelayakan program secara online, sesi rundingan akademik, serta tapak pameran fakulti yang pastinya sedia membantu semua pengunjung yang hadir khasnya kepada anak-anak lepasan SPM untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai program yang diminati di UiTM. Di samping itu, pentas ESKU 2024 juga turut dimeriahkan dengan persembahan daripada pelajar-pelajar UiTM termasuklah nyanyian, tarian dan persembahan pencak silat.

Sesi rundingan akademik juga turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga yang menemani anak masing-masing. Para lepasan pengajian SPM, STPM, STAM, Matrikulasi, Diploma dan setaraf yang hadir berpeluang mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding akademik yang terdiri daripada kalangan para pensyarah yang berpengalaman yang mampu memberi nasihat terbaik bagi pemilihan kursus-kursus yang layak untuk dimohon dan diisi di dalam permohonan UPU mereka nanti.

Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan dalam majlis perasmian ESKU 2024 turut memaklumkan bahawa, para pelajar UiTM yang mempunyai masalah terutamanya melibatkan kewangan akan sentiasa dibantu. UiTM kekal komited dalam membantu para pelajar khususnya pelajar daripada golongan keluarga B40. UiTM menawarkan pelbagai bantuan kepada pelajar termasuklah zakat, wakaf serta tabung sedekah yang diagihkan kepada para pelajar yang memerlukan. Beliau juga turut mengajak dan mengalu-alukan semua anak-anak lepasan SPM, STPM, STAM, Matrikulasi, Diploma dan setaraf untuk memilih program-program di UiTM sebagai program dan universiti pilihan utama mereka dalam permohonan UPU nanti. Semoga program yang dijalankan dengan niat murni bagi membantu bakal mahasiswa mahasiswi ini mampu memberi nilai positif dan cemerlang dalam membentuk perjalanan masa depan mereka ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Penyedia Laporan:
Cik Siti Nor Adawiah Hussin
Setiausaha
Ekspo Selangkah ke UiTM 2024