MACHANG, 12 Mei- Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan mengambil inisiatif mengadakan Program Peduli Masyarakat 2021.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed berkata, program ini merupakan susulan kepada isu penarik beca sekitar Jajahan Pasir Mas yang tersebar luas di media sosial yang terjejas pendapatan akibat beberapa faktor.
Katanya, program kali ini disasarkan kepada seramai 15 orang penarik beca yang sudah berumur, kurang berkemampuan serta terkesan dengan gelombang ke-3 Pandemik Covid-19.
"Program yang diadakan ini adalah anjuran Jawatankuasa Kecil Komuniti Penyayang dan Khidmat Masyarakat Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTMCK.”
"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang ketat, sumbangan telah disampaikan oleh wakil masyarakat iaitu Encik Abdul Hadi Mohamad (Cikgu Hadi) yang terkenal dengan kerja-kerja amal terutama di Jajahan Pasir Mas. Majlis serba ringkas ini diadakan di Tempat Letak Kereta Pasaraya UMART, Pasir Mas, Kelantan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.”
"Objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk menyuburkan sikap cakna terhadap masyarakat serta budaya bersedekah di kalangan warga komuniti tanpa mengira pangkat, agama atau bangsa.”
"Jawatankuasa Kecil Komuniti Penyayang dan Khidmat Masyarakat Akademi Pengajian Bahasa (APB) sememangnya terkenal dengan program-program bersifat cakna masyarakat seumpama ini samada di peringkat dalaman atau luar institusi dan ini bukanlah kali pertama jawatankuasa ini menjalankan program-program cakna masyarakat seperti ini.”
"Saya berharap agar kerja-kerja amal yang menumpukan kepada masyarakat dapat diadakan dengan lebih banyak dan kerap lagi,” katanya.