KUALA LUMPUR, 4 Februari - Tiga orang pensyarah kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang mempamerkan karya seni mereka di Pameran ‘Canai 3’ bertempat di KL City Spark, GMBB, Kuala Lumpur yang bermula dari 8 Januari 2024 sehingga 31 Mac 2024. Penglibatan pensyarah yang berkenaan iaitu Encik Mohd Faizal Ramli, Encik Sarman Mohamad dan Encik Junaidi Awang bersama 3 orang artis dari pelbagai latar belakang mempamerkan karya-karya hasil penyelidikan ilmiah dalam pengkhususan seni visual seperti catan, arca, batik, cetakan, rekaan produk dan grafik. Pameran ini adalah hasil inisiatif anjuran Pusat Pengajian Pasca Siswazah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama GMBB, Kuala Lumpur bertujuan untuk mempamerkan karya seni visual hasil penyelidikan kreatif.
Encik Mohd Faizal Ramli mempamerkan beberapa siri karya arca kontemporari beliau yang menggunakan bahan asas kayu seperti cengal melalui penyelidikan bertajuk ‘Akulturasi Komponen Seni Bina Tradisi Berasaskan Pendekatan Budaya Dalam Arca Kontemporari’. Karya instalasi ‘post-modern’ penerokaan media baharu melalui kaedah seni cetakan pula dipamerkan oleh Encik Sarman Mohamad dengan tajuk kajiannya ‘Penerapan Seni Cetak Bebas Toksik Sebagai Alternatif Pengkaryaan Melalui Konsep Ekosentrism’. Manakala Encik Junaidi Awang tampil dengan siri-siri batik catan berkonsepkan abstrak dengan tema kelestarian alam yang dihasilkan di atas beberapa bahan serapan terbuang hasil penyelidikan eksplorasi kreatif beliau bertajuk ‘Batik Catan Lestari Melalui Aplikasi Serapan Alternatif’.
Pameran boleh dilawati secara percuma di Tingkat 2 GMBB, Kuala Lumpur bermula dari jam 11:00 pagi hingga 6:00 petang. GMBB ialah pusat beli-belah komuniti kreatif di Bukit Bintang yang menyediakan sewaan ruang galeri kepada komuniti seniman untuk mempamerkan karya mereka kepada tatapan umum serta sebagai hab yang berdaya usaha menawarkan peluang kolaboratif dan kolektif demi kepentingan bersama.
Penyedia Laporan:
Encik Junaidi Awang
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif