Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi Penyelidikan Bersama antara UiTM Cawangan Kelantan dan Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Indonesia

MACHANG, 23 Oktober – Kolej Pengajian Seni Kreatif dengan kerjasama Department of International Affairs (DIA), UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM Cawangan Kelantan dan Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Indonesia secara maya melalui platform Zoom Meeting dan juga YouTube Channel UiTM Cawangan Kelantan secara langsung pada 02 Oktober 2023. Dengan termeterainya perjanjian ini, kolaborasi antarabangsa antara UiTM Cawangan Kelantan dan Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Indonesia dapat diperkukuhkan.

Majlis ini telah diwakili oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Jaringan Industri), Dr. Norzieha Mustapha, Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Seni Kreatif, Puan Ts. Emilia Abdul Manan dan penyelidik-penyelidik UiTMCK. Manakala, pihak Universitas Ahmad Dahlan (UAD), diwakili oleh Rektor, Prof. Dr. Muchlas, Vice Rector of Academic Affair, Dr. Rusydi Umar dan para penyelidik daripada UAD.

Memorandum Perjanjian (MoA) ini adalah bertujuan untuk memfokuskan kepada penyelidikan bersama antara kedua-dua buah universiti. Penyelidikan di peringkat UiTM Cawangan Kelantan telah mendapat Geran Penyelidikan Strategic Research Partnership (SRP) di bawah RMC UiTM. Geran Penyelidikan ini diketuai oleh Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir dan penyelidik bersama iaitu Dr. Mat Redhuan Samsudin dan Dr. Nani Hartina Ahmad. Penyelidikan ini direncanakan berjalan sehingga 2 tahun akan datang dengan penyelidikan yang bertajuk “Figures, Characters, and Storyline: A Comparative Study of Ramayana’s Javanese and Kelantan Wayang Kulit”.

Akhir kata, Rektor UiTMCK berharap agar Memorandum Perjanjian yang ditandatangani ini dapat mengukuhkan komitmen dan kerjasama supaya dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah universiti. Semoga dengan peluang Kerjasama dalam bidang berkaitan antara UiTM Cawangan Kelantan dan Universitas Ahmad Dahlan dapat diteruskan melalui program inbound and outbound pada masa akan datang.


Penyedia laporan:
Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif