INDONESIA, 11 September – Universitas Negeri Semarang (UNNES) telah menganjurkan satu pameran antarabangsa iaitu ‘Semarang International Illustration Festival (SIIF 2023)’ buat kali ke-4 pada 02 September 2023 yang bertempat di galeri Fakultas Bahasa dan Seni, Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia. SIIF merupakan acara dwitahunan yang mempamerkan karya ilustrator dari pelbagai negara. Pada tahun 2017, 2019 dan 2021 SIIF telah berjaya diadakan di peringkat antarabangsa dan mendapat maklum balas positif daripada golongan profesional dan akademik dalam bidang seni dan reka bentuk dari pelbagai negara di seluruh dunia.
Pada tahun 2023, Festival Ilustrasi Antarabangsa Semarang (SIIF) ke-4 mengangkat tema pameran iaitu "Gotong-Royong", yang bermaksud kerjasama kolektif ke arah matlamat bersama dalam sudut bahasa. Menghayati semangat "Gotong-Royong" sebagai sumber inspirasi, pameran seni ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara artis dan masyarakat, memupuk kesedaran budaya dan alam sekitar, serta menyediakan akses eksklusif kepada penciptaan dan apresiasi seni untuk semua individu. Acara ini berhasrat untuk berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan hubungan dalam komuniti artistik dan mempromosikan penglibatan sosial yang lebih luas.
Pameran ilustrasi antarabangsa ini telah menerima lebih daripada 200 karya ilustrasi dari pelbagai negara. Setelah melalui proses kurasi, akhirnya 97 karya ilustrasi terbaik dari 20 negara telah terpilih untuk dipamerkan dalam ‘Semarang International Illustration Festival (SIIF 2023)’. Hasil karya ilustrasi daripada pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kelantan turut terpilih dalam pameran ilustrasi antarabangsa tersebut. Antara hasil karya yang telah terpilih adalah hasil karya ilustrasi daripada Emilia Abdull Manan, Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir, Zainab Anuar, Rohaizan Nasir, M.Bakeri Ab.Rahman dan Masdi Abdul Manan. Semua hasil karya yang terpilih telah menepati kriteria ilustrasi dan mempamerkan tema "Gotong-Royong".
Karya yang terpilih ini merupakan gambaran bakat melalui ilustrasi yang wujud dalam komuniti seni global. Setiap karya menceritakan kisah yang unik, membangkitkan emosi yang kuat dan mengajak penonton untuk memulakan perjalanan visual seperti yang dipamerkan. Dalam masa yang sama, dengan penglibatan pensyarah daripada Kolej Pengajian Seni Kreatif secara tidak langsung telah menaikkan nama UiTM Cawangan Kelantan di peringkat antarabangsa di samping negara-negara lain.
Secara konklusinya, ‘Semarang International Illustration Festival (SIIF 2023)’ merupakan satu platform bagi para pereka untuk meningkatkan hubungan dalam komuniti artistik dan mempromosikan penglibatan sosial yang lebih luas. Seluruh hasil karya ilustrasi daripada pelbagai negara dapat dilihat dan interpretasi hasil karya dapat dilakukan secara bersemuka supaya nilai estetika hasil karya ilustrasi dapat disampaikan kepada para penonton secara menyeluruh.
Penyedia Laporan:
Cik Roziani Mat Nashir@Mohd Nasir
Setiausaha/Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif