MACHANG, 3 September 2023 - Unit Pengurusan Risiko (UPR) dengam kerjasama Unit Polis Bantuan (UPB), Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri (JKKPN), Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF) serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah berjaya menjalankan satu misi penjelajahan ke seluruh sempadan UiTMCK pada 24 Ogos 2023. Tujuan program ini adalah untuk membuat tinjauan dan penilaian risiko terhadap sempadan UiTMCK yang telah dilaporkan roboh disebabkan oleh pencerobohan pihak luar dan ditimpa pokok. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk melihat kadar kerosakan sekitar kawasan UiTMCK serta pelaporan perlu dibuat bagi tujuan penilaian kos penggantian dan kerosakan tersebut.
UPR diwakili oleh Penyelarasnya iaitu Dr Mariam Setapa, manakala Polis Bantuan UiTMCK diketuai oleh ASP. Mohd Razali Yusoff turut disertai oleh dua (2) anggota PB, seterusnya JKKPN diwakili oleh En Azharulnizam Wahab dan PDRM diwakili oleh dua (2) anggota polis dari Balai Polis Banggol Judah, Machang. BPF diwakili oleh dua (2) staf yang bertanggungjawab bagi penilaian kos kerosakan dan kos penggantian.
Peserta program diberikan taklimat keselamatan oleh Ketua UPB, ASP Mohd Razali Bin Yusoff. Taklimat berkaitan laluan utama yang akan dilalui sepanjang siri penjelajahan ini. Beliau berharap, agar semua peserta menjaga keselamatan sepanjang berada di dalam hutan berdekatan kerana ia berisiko kepada ancaman binatang buas dan jalan licin ekoran hujan.
Peserta tidak dapat menyelesaikan misi dengan sempurna apabila laluan penjalan kaki menuju ke puncak bukit telah dilitupi semak samun yang tebal dan berisiko kepada semua peserta. Oleh itu, peserta menukar arah laluan kepada pagar sebelah kiri UiTMCK untuk meneruskan misi ini. Dengan bantuan pacuan 4 roda Hilux, peserta sampai ke hujung jalan, namun keadaan geografi menyebabkan peserta tidak dapat mendaki sehingga ke puncak bukit UiTMCK. Bagaimanapun, semua peserta berpuas hati apabila berjaya juga membuat pemantauan risiko dan kos penggantian pagar seperti mana yang dikehendaki.
Ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam siri penjelajahan yang sangat bermakna ini.
Penyedia Laporan:
Dr Mariam Setapa
Penyelaras
Unit Pengurusan Risiko UiTMCK